Lelaki ditahan pukul adik hingga menyebabkan kematian

Lelaki ditahan pukul adik hingga menyebabkan kematian

MOHD. ZAIDI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan disyaki terlibat dalam pergaduhan adik-beradik hingga mengakibatkan adiknya maut dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Signal Hill pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, kedua-dua mangsa dipercayai bergaduh semasa ketiadaan ahli keluarga lain di rumah sehingga menyebabkan mangsa berusia 25 tahun cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan laporan daripada bapa pasangan beradik tersebut, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri akibat kecederaan yang dialami malah, bahagian muka mangsa juga berdarah.

“Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mendapatkan rawatan.

“Bapa mereka mengesyaki anak lelakinya telah mencederakan mangsa semasa ketiadaan mereka di rumah. Suspek dan mangsa juga dikatakan sering bergaduh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang objek atau senjata tajam yang mungkin digunakan oleh suspek untuk mencederakan mangsa.

Menurut saksi kejadian iaitu jiran mereka, saksi terdengar jeritan kuat dari rumah mangsa pada pukul 4.30 petang sebelum melihat suspek bertindak keluar dari rumah berkenaan.

Susulan laporan polis yang dibuat, anggota PDRM telah menangkap suspek pada pukul 8.15 malam hari yang sama. Suspek ditahan bersama dua bentuk cincin yang dipakainya dan dipercayai menyebabkan kecederaan pada mangsa.

Mohd. Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor perubatan semasa berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HQE. Mayat mangsa dihantar ke unit forensik bagi mengetahui punca kematian.

Suspek yang berusia 26 tahun iaitu abang kandung mangsa ditahan reman selama empat hari sehingga semalam.

Kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan diklasifikasi semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Jelas beliau, saringan ujian air kencing terhadap suspek mengesahkan tiada sebarang kesan pengambilan dadah. 

“Buat masa ini, tiada sebarang pengakuan dibuat oleh suspek mengenai kejadian tersebut dan polis masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian,” katanya.- utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.