PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan berbentuk perniagaan kad sim yang didalangi lelaki tempatan dalam serbuan di sekitar ibu negara, di sini kelmarin.
Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman susulan tiga laporan polis dibuat membabitkan kerugian sebanyak RM1.45 juta.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut bergiat aktif sejak 2020 dipercayai menawarkan pelaburan berbentuk perniagaan kad sim dan produk daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Katanya, setiap pakej pelaburan menawarkan pulangan bulanan yang berbeza dan dijanjikan bayaran sepanjang hayat.
“Bagaimanapun pelabur hanya menerima pulangan di peringkat awal sebelum dimaklumkan bahawa syarikat mengalami kerugian dan pulangan dijanjikan tidak dapat dibayar.
“Susulan itu, polis menahan lelaki berusia 32 tahun dipercayai suspek utama dalam sindiket terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua unit telefon bimbit, sekeping kad pengeluaran wang automatik (ATM), buku cek (dua) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penipuan.
Jelas beliau, suspek direman dua hari bermula semalam dan diberi jaminan polis selepas tempoh reman tamat hari ini.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan melakukan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya. – UTUSAN