KUALA TERENGGANU: Sebanyak 14 ajaran sesat yang masih bergerak aktif di negara ini berada dalam radar pemantauan kerajaan supaya tidak menggugat keimanan umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerjasama erat antara institusi hal ehwal agama Islam Persekutuan dan negeri bersama pihak berkuasa bagi membanteras ajaran itu.
Kata beliau, sejarah menunjukkan ajaran-ajaran sesat tidak pernah ‘tidur’ dengan percubaan mempengaruhi dan mencemari pemikiran rakyat.
“Kita sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak hal ehwal agama melakukan pemantauan serta penguatkuasaan mengikut lunas undang-undang,” katanya selepas menyampaikan bantuan pasca bencana banjir sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dan sedang memantau rapi 14 ajaran sesat yang dikesan masih bergerak aktif termasuk Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah dan The Ahmadi Religion of Peace and Light. –UTUSAN










