Lebih 20 ahli politik terkemuka didapati berpotensi untuk dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung dalam tempoh dua bulan akan datang.
Kebanyakannya terdiri daripada calon yang tewas setelah bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia juga meliputi individu yang tidak dinamakan sebagai calon PRU15 walaupun berada dalam kedudukan sebagai penyandang kerusi sebelum ini.
Namun, nama-nama ahli politik yang tewas atau yang tidak terpilih dalam PRU15 kembali menjadi sebutan kerana mereka masih mempunyai pengaruh dan mampu membantu parti-parti politik memenangi PRN kali ini.
Mereka bukan sahaja dijangka mengisi kedudukan sebagai calon, tetapi juga berpotensi menjadi calon ‘import’ di negeri yang berbeza, berbanding kawasan yang ditandingi sebelum ini.
Khairy Jamaluddin
Selepas dipecat oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin muncul sebagai calon terhangat dalam arena politik negara apabila sering menjadi sebutan untuk bertanding dalam PRN kali ini.
Pemimpin berusia 47 tahun itu sering dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat berminat untuk mencalonkan beliau di Selangor atau Negeri Sembilan ketika ini.
Bekas Menteri Kesihatan itu tidak pernah menyatakan pendiriannya, namun beliau kekal aktif berbicara mengenai politik dan isu semasa menerusi platform di media sosial, Keluar Sekejap.
Beliau juga lantang mengkritik dasar kerajaan, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim serta bekas partinya, UMNO.
Dalam PRU15, Khairy tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), R. Ramanan dengan majoriti 2,693 undi di Parlimen Sungai Buloh.
Shahidan Kassim
Shahidan muncul sebagai pemimpin terawal PN yang menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Keyakinannya boleh dianggap luar biasa kerana pemimpin berusia 71 tahun itu tidak pernah bertanding di negeri lain, selain dari negeri kelahirannya, Perlis.
Malah, kali terakhir beliau bertanding di peringkat DUN adalah pada 2008, apabila beliau berjaya mempertahankan kerusi Tambun Tulang untuk empat kali berturut-turut sejak mula bertanding pada 1995.
Beliau bagaimanapun mempunyai rekod cemerlang 100 peratus apabila tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya, baik peringkat DUN mahupun Parlimen sejak 1986.
Noh Omar
Noh muncul sebagai bekas pemimpin UMNO pertama yang mengesahkan bahawa beliau akan bertanding kerusi DUN Selangor sebagai calon PN.
Ini susulan pemecatan beliau dari partinya setelah tidak dinamakan sebagai calon Parlimen Tanjong Karang pada PRU15, kerusi yang disandangnya sejak 1995.
Pemimpin berusia 65 tahun itu mahu membantu PN memenangi kerusi DUN yang berada di bawah Parlimen Tanjong Karang, memberi bayangan bahawa beliau mungkin akan bertanding sama ada di Sungai Burong atau Permatang.
Walaupun akan bertanding buat pertama kali di peringkat DUN, Noh mempunyai rekod cemerlang dalam pilihan raya apabila tidak pernah tewas sejak mula bertanding pada 1995.
Annuar Musa
Penyertaan sebagai ahli Pas menguatkan lagi spekulasi bahawa Tan Sri Annuar Musa akan bertanding dalam PRN kali ini.
Ini setelah pemimpin berusia 66 tahun itu disisihkan daripada mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada PRU15, sebelum beliau dipecat oleh UMNO.
Jika bertanding, beliau dijangka menjadi calon di salah satu kerusi DUN di Ketereh iaitu Melor, Kadok atau Kok Lanas.
Ini berdasarkan rekodnya yang tidak pernah bertanding luar dari negeri kelahirannya, Kelantan.
Kali terakhir beliau bertanding di peringkat DUN adalah pada 2004, apabila memenangi kerusi Kok Lanas.
Sejak 1990, Annuar bertanding di tiga kerusi Parlimen berbeza iaitu Nilam Puri (1990), Peringat (1995, 1999) dan Ketereh (2008, 2013, 2018).
Calon-calon lain
Bagi pihak BN, terdapat beberapa nama yang boleh diketengahkan sebagai calon antaranya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang tewas di Parlimen Gerik dalam
PRU15, selepas bertanding sebagai calon import, kalah dengan majoriti tipis 1,377 undi.
Begitu juga dengan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang tewas di Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) dan Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya).
Selain itu, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali juga boleh diketengahkan sebagai calon meskipun beliau tewas di Kuala Nerus, serta Datuk Seri Dr. Adham Baba yang tidak dicalonkan di Tenggara dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang tidak mempertahankan kerusi Pasir Salak yang disandangnya sebelum ini.
PN juga mempunyai beberapa nama yang berpotensi untuk dicalonkan dalam PRN kali ini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mampu menjadi calon penting untuk PN dalam PRN walaupun tewas di Tambun pada PRU15.
Calon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali juga hampir pasti mempertahankan kerusi Bukit Antarabangsa yang disandangnya sejak 2008, meskipun tewas bertanding di Parlimen Gombak dalam PRU lalu.
Selain itu, ada beberapa lagi nama yang boleh dicalonkan oleh PN antaranya Datuk Seri Rina Harun, Rashid Hasnon, Redzuan Md. Yusof dan Dr. Noor Azmi Ghazali serta Datuk Zuraida Kamaruddin yang memberikan sokongan kepada PN.
PH turut tidak ketandusan pemimpin berpengaruh yang boleh dicalonkan dalam PRN kali ini. Antaranya, Nurul Izzah Anwar yang tewas di Permatang Pauh pada PRU15, kerana beliau pernah menjadi calon import di Lembah Pantai.
Begitu juga dengan Maszlee Malik yang popular dalam kalangan pengundi bandar walaupun beliau gagal mempertahankan kerusi Simpang Renggam pada pilihan raya lalu.
Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin juga dilihat antara calon berpotensi selepas menjadi calon import di Bagan Datuk selepas Fuziah Salleh tewas di Kuantan.
Charles Santiago dan R. Sivarasa yang tidak bertanding di PRU15 mempertahankan kerusi masing-masing juga dilihat sesuai untuk menjadi calon PRN. – UTUSAN










