PETALING JAYA: Walaupun pada realitinya hampir 50,000 kontraktor pelbagai kelas gulung tikar sejak tahun 2018, lambakan lesen baharu dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menyempitkan lagi periuk nasi pemain industri pembinaan.
Mana tidaknya, berdasarkan statistik bulan lalu, jumlah keseluruhan kontraktor kelas G1 hingga G7 bertambah lebih sekali ganda apabila mencatatkan sebanyak 136,000 lesen baharu dan sedia ada berbanding 60,000 lesen pada tahun 2019.
Memberitahu Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, hal ini berlaku disebabkan tindakan kerajaan pada 2019 yang membuka semula permohonan lesen baharu kontraktor.
Menurutnya, pada 2005, pihaknya sudah memohon supaya kerajaan membekukan pengeluaran lesen baharu semua kelas disebabkan syarikat sedia ada pada waktu itu sudah pun lebih daripada mencukupi.
“Semasa pemerintahan PH (September 2019) kerajaan ketika itu mengatakan mereka mahu beri peluang kepada orang Melayu berniaga, jadi mereka buka semula (pemberian lesen).
“Permohonan itu semakin bertambah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana semuanya dibuat secara dalam talian dengan bayaran sekitar RM2,500 sahaja untuk mendapatkan lesen G1.
“Alasannya adalah membantu siswazah tiada kerja tapi bagi PKMM, sebenarnya tindakan buka semula pemberian lesen bukannya membantu sebaliknya ‘membunuh’ mereka,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak hampir 50,000 lesen ditamatkan dan tidak memperbaharui Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) merangkumi semua kategori sejak 2018 sehingga 2022.
Berdasarkan statistik tersebut, kontraktor kelas G1 hingga G3 paling banyak gulung tikar pada tahun sama iaitu sekitar 42,000 lesen.
Mohamed Fadzill berkata, apa yang merunsingkan pihaknya adalah projek membabitkan sektor kerajaan dan swasta kini semakin berkurang sehingga mengakibat persaingan perolehan tender semakin tinggi berbanding sebelum ini.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi tidak menentu sektor kerajaan mahu pun swasta tidak berani untuk membuat projek baharu sekali gus menekan kesinambungan kontraktor sedia ada.
“Projek memang sangat kurang tapi peratusan sebenar PKMM tiada data itu cumanya kami anggarkan ia berkurang sekitar 50 peratus berbanding sebelum pandemik.
“Ramai antara kontraktor sudah tiada kerja sejak selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Ia bukan saja membabitkan projek kerajaan bahkan pihak swasta,” katanya.
Oleh demikian, Mohamed Fadzill yang juga Yang Dipertua PKMM Pulau Pinang berkata, pada Mesyuarat Agung PKMM Tahunan Kali Ke-39 Khamis lalu, pihaknya memutuskan untuk mendesak kerajaan membekukan semula pemberian lesen untuk semua kelas.
“PKMM memutuskan untuk mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan supaya membekukan pemberian lesen baharu daripada kelas G1 hingga G7 sehingga keadaan ekonomi negara stabil dan kukuh.
“Kami amat berharap Perdana Menteri mendengar rintihan kami supaya kontraktor sedia ada dapat meneruskan kelangsungan dalam industri pembinaan,” katanya.
Tegasnya, jika tindakan membekukan pengeluaran lesen baharu tidak dilaksanakan, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan secara berterusan di kalangan kontraktor sedia ada dari semasa ke semasa. – UTUSAN










