LAKSAMANA tawar 1,000 peluang pekerjaan

LAKSAMANA tawar 1,000 peluang pekerjaan

MUEZ Abd. Aziz (berdiri, dua kiri) bersama Affendi Buang (berdiri, dua kanan) dan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (berdiri, kanan) menyaksikan pemeteraian MoU antara LTAT dan AMIM di Dewan MIEC, Padang Matsirat Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) memeterai persefahaman untuk menyediakan 1,000 peluang pekerjaan kepada veteran dan anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam industri maritim.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin berkata, inisiatif di bawah Program Latihan Kemahiran Anak ATM dan Veteran ATM (LAKSAMANA) itu bertujuan memberi peluang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalani latihan dalam bidang berkenaan.

Jelasnya, ia juga bagi membantu lebih ramai veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan mendapatkan peluang pekerjaan kedua dalam bidang maritim di 141 syarikat berdaftar di bawah AMIM.

“Usaha ini adalah salah satu inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami bagi melaksanakan program LAKSAMANA yang dirangka khusus buat anak warga ATM dan veteran ATM seluruh negara.

“Pihak AMIM akan menyediakan mereka peluang latihan dalam industri maritim bermula tahun ini sehingga 2026 sebelum mereka yang layak akan berpeluang bekerja di syarikat yang terbabit dalam industri maritim,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), LTAT diwakili Mohd. Nizar, manakala AMIM diwakili Ahli Jawatankuasa Pengurusannya, Ir. Hilmee Abu Kassim.

Majlis turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizar berkata, inisiatif itu dijangka mampu membantu mempercepat pelaksanaan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 daripada aspek pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor maritim.

“Sejajar dengan status Malaysia sebagai negara maritim berpotensi dalam aspek perdagangan dan geopolitik maritim, kita memerlukan ramai pekerja dalam industri ini pada masa hadapan.

“Ini juga dapat membantu memastikan kebajikan serta kesejahteraan hidup veteran ATM lebih terjamin dan membuka mereka lebih banyak peluang kerjaya kedua,” katanya.

Terdahulu, LTAT turut menandatangani MoU bersama Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) bertujuan meningkatkan kemahiran anak warga ATM dan veteran ATM dalam industri pengujian tanpa musnah (Skilled Personnel Program in Non-Destructive Testing) di bawah program LAKSAMANA. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya