Lagi kes budak lemas dalam kolam renang - Utusan Malaysia

Lagi kes budak lemas dalam kolam renang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hanya dalam tempoh enam hari, satu lagi kejadian lemas membabitkan kanak-kanak perempuan berlaku di kolam renang sebuah rumah di Tambun, semalam.

Mangsa berusia tiga tahun itu dijumpai terapung di dalam kolam renang kanak-kanak sekitar pukul 6.30 petang oleh abangnya yang berusia 15 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati kolam renang tersebut terletak di tepi rumah jiran kepada datuk mangsa.

Katanya, semasa kejadian ibu mangsa berada di dalam rumah manakala bapanya telah keluar menghantar saudara pulang ke tempat penginapan lain.

“Mangsa yang dijumpai dalam keadaan terapung segera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan namun disahkan telah meninggal dunia.

“Bedah siasat telah pun dijalankan ke atas mayat kanak-kanak itu di mana hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 33(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan berpatutan.

“Kejadian ini merupakan kes keempat mati lemas pada tahun ini melibatkan mangsa kanak-kanak akibat ditinggalkan ibu bapa atau penjaga.

“Pihak polis memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa atau penjaga yang membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing tanpa pengawasan berpatutan hingga menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya.

Media Rabu lalu melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemukan mati lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama ibu bapa menziarahi keluarga sempena hari raya Aidilfitri sebelum dia dijumpai bapanya pada pukul 8.45 malam dalam keadaan terlentang dan terapung di dalam kolam tersebut.

Pada Februari lalu, kejadian lemas turut dilaporkan membabitkan dua beradik di sebuah kolam renang di sebuah hotel di sini.

Kejadian berlaku ketika kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan adik lelakinya berusia lapan tahun itu, datang untuk mandi-manda di kolam renang berkenaan bersama bapa dan abang mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya