Komplot peras, bunuh ahli perniagaan dalam bagasi - Utusan Malaysia

Komplot peras, bunuh ahli perniagaan dalam bagasi

Bunuh ahli perniagaan
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan barangan rampasan kes bunuh, pada sidang akhbar di IPK Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Masalah kewangan mendorong seorang kontraktor merancang komplot bunuh ahli perniagaan yang juga pemilik rangkaian klinik swasta di Kajang, baru-baru ini.

Lelaki berusia lewat 30-an itu bukan sahaja memeras ugut wang RM228,000 malah turut bersubahat dengan empat individu lain untuk menamatkan riwayat mangsa pada 26 April lalu.

Komplot membunuh lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai bagi mendapatkan wang membiayai kos perundangan berkaitan kes dadah yang dihadapinya.

Helah itu bagaimanapun terbongkar menerusi penahanan lima suspek termasuk dua wanita berusia 22 hingga 40 tahun di sekitar Kajang dan Ampang, kira-kira pukul 4 petang, 27 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati mangsa yang masih bujang menemui suspek utama di sebuah restoran di Semenyih, kira-kira pukul 11 pagi hari kejadian sebelum diperdaya dan menaiki kereta suspek ke sebuah lokasi atas alasan perniagaan.

“Pada waktu itu,  mangsa ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakan serumahnya meminta dimasukkan wang syarikat berjumlah RM228,000 ke dalam akaun tidak dikenali.

“Akauntan syarikat itu turut menerima mesej itu namun tidak diendahkan kerana curiga sebelum telefon bimbit mangsa gagal dihubungi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Kajangdi sini, hari ini.

Jelas Hussein, polis kemudian menerima laporan mengenai kehilangan itu daripada rakan serumah dan ahli keluarga mangsa. 

“Hasil siasatan membawa kepada penahanan lima suspek selain merampas 12 telefon bimbit termasuk milik mangsa. Seorang daripada mereka mengaku merancang dan membunuh mangsa yang dibuang ke gaung setinggi 27 meter di kawasan terpencil di Hulu Langat,” ujarnya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui masih lengkap berpakaian dengan kedua-dua tangan diikat dan kesan jerutan tali kabel dalam sebuah bagasi.

“Hasil bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang mendapati kematian berpunca kecederaan jerutan pada leher yang menyebabkan saluran pernafasan tersekat. Kes yang pada awalnya disiasat mengikut 385 Kanun Keseksaan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 kanun sama,” jelasnya.

Tambah Hussein, siasatan lanjut mendapati mangsa dan suspek utama  berkenalan sejak setahun lalu selepas membaik pulih klinik dan rumah.

“Motif kejadian itu bagi mendapatkan harta milik mangsa kerana suspek ada masalah kewangan bagi membiayai peguam bagi kes berkaitan dadah. Suspek juga berjaya mendapatkan RM20,000 daripada mangsa yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam perkhidmatan kesihatan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya