KKM digesa bentang segera RUU Kawalan Produk Merokok

KKM digesa bentang segera RUU Kawalan Produk Merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Green Lung Malaysia menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok pada bulan ini atau selewat-lewatnya pada Jun depan.

Dalam kenyataannya, Green Lung Malaysia berkata, pembentangan RUU ini amat penting bagi mengatasi masalah penggunaan produk merokok terutama rokok elektronik atau vape dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Jelasnya, berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi (NHMS) 2022, penggunaan vape dalam kalangan remaja dalam negara meningkat daripada prevalens 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022, dengan kadar peningkatan sebanyak 52 peratus.

“Kadar peningkatan ini amat menakutkan dalam tempoh 5 tahun sahaja. Jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah akan menjadi mangsa ketagihan vape dan nikotin, sekali gus mengancam kesihatan serta masa depan mereka.

“Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa telah memberi janji kepada rakyat Malaysia beberapa kali dalam media bahawa KKM akan membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat atau Generational Endgame (GEG). Bulan Mei sudah menghampiri hujung, bilakah kerajaan akan mengotakan janji?

“Isu pilihan raya akan datang tidak harus digunakan sebagai satu alasan untuk melengahkan pembentangan dan kelulusan RUU ini. Jikalau kerajaan khuatir RUU akan menyinggung perasaan pengundi, banyak tinjauan awam oleh pihak media dan badan bukan kerajaan telah menunjukkan sokongan yang memberangsangkan setinggi 97 peratus terhadap pelaksanaan RUU dan GEG, termasuk perokok dan pengguna vape,” katanya.

April lalu, Zaliha berkata, beliau akan membentangkan RUU baharu kawalan tembakau dan vape pada sesi Parlimen pada bulan ini.

Bagaimanapun, Zaliha tidak menjelaskan sama ada RUU baharu itu berbeza dengan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan pada sesi Parlimen sebelum ini.

Jelas Green Lung Malaysia, peningkatan dalam penggunaan vape ini berkaitan rapat dengan polisi kerajaan dan faktor dorongan industri.

“Ketiadaan kawalan undang-undang terhadap penjualan dan penggunaan vape, lebih-lebih lagi nikotin dalam vape dan rokok elektronik telah dikeluarkan daripada Akta Ragun 1952 baru-baru ini.

“Kerajaan seolah-olahnya menyerahkan hak sepenuhnya kepada penjual dan industri vape dan rokok elektronik untuk menentukan peraturan sendiri tanpa batasan.

Pada Belanjawan 2023 lalu, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Malah, kerajaan juga bersetuju mewartakan duti eksais bagi cecair vape dengan kandungan nikotin pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) dalam usaha mengenakan cukai produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.