PM India janji hukuman tegas isu tipu peperiksaan India - Utusan Malaysia

PM India janji hukuman tegas isu tipu peperiksaan India

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk ketika menyertai perarakan bantahan bagi menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan India, Dharmendra di Mumbai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi berikrar akan melaksnakan hukuman tegas terhadap mereka yang terlibat dalam penipuan peperiksaan. 

Beliau membuat kenyataan pertamanya ber­kaitan protes besar yang mencabar pentadbirannya.

Kenyataan itu dibuat selepas ribuan penunjuk perasaan yang diketuai gerakan Parti Lipas Janta (CJP) yang digerakkan menerusi media sosial berhimpun di New Delhi pada Rabu, sekali gus mencetuskan pertembu­ngan baharu dengan polis.

“Tiada perkara yang lebih penting daripada kebajikan dan masa depan golongan muda kita.

“Mereka yang cuba merosakkan masa depan golongan muda kita tidak akan dibiarkan terlepas,” katanya dalam hantaran di media sosial dan  berjanji menubuhkan mahkamah khas bagi mempercepatkan tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam kebocoran kertas soalan peperiksaan.

Penunjuk perasaan yang ma­jo­ritinya pelajar muda me­nuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, berhubung isu kebocoran kertas peperiksaan sejak bulan lalu.

Protes itu semakin besar pada Isnin selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan cota terhadap puluhan ribu penunjuk perasaan yang cuba berarak ke Parlimen pada hari pertama persidangan.

Beberapa siri ­penyelewengan dalam sistem peperiksaan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem penilaian India. Ia termasuk kebocoran kertas soalan peperiksaan kemasukan jurusan perubatan yang menyebabkan lebih dua juta calon terpaksa menduduki semula ujian ber­kenaan. 

Ketegangan meningkat apabila penunjuk perasaan bertindak balas dengan membaling batu, sekali gus menjadikan perhimpunan jalanan itu sebagai yang terbesar di ibu negara India dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Menurut polis, sekurang-ku­rangnya 178 orang termasuk anggota keselamatan cedera dalam insiden keganasan tersebut.

Gerakan CJP yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial muncul pada Mei lalu sebagai tindak balas terhadap sindiran Ketua Hakim Negara, Surya Kant. Beliau menyamakan golongan muda dengan lipas dan parasit ketika satu sesi pendengaran mahkamah.

Sejak itu, gerakan berkenaan memperluaskan tuntutannya dengan membangkitkan isu pengangguran, peluang untuk golongan muda serta apa yang disifatkannya sebagai gaya pemerintahan Modi yang semakin autoritarian.

Protes itu muncul sebagai antara cabaran terbesar terhadap Modi yang berfahaman nasionalis Hindu selepas beliau dipilih semula untuk penggal ketiga sebagai perdana menteri pada 2024. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN