Ketua Pemuda Pas Kelantan tegur Khairul Aming beli tiket Coldplay - Utusan Malaysia

Ketua Pemuda Pas Kelantan tegur Khairul Aming beli tiket Coldplay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan pempengaruh terkenal, Khairul Aming membeli tiket konsert Coldplay mendapat teguran daripada Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed.

Mohamad Kamal berkata, tindakan usahawan berasal dari Kelantan itu seolah-olah mempromosikan konsert daripada artis yang lantang mempromosikan LGBT.

Jelasnya, dia juga turut terguris hati selepas membaca ciapan Twitter pembikin kandungan video makanan yang bersungguh-sungguh membuat tempahan tiket tersebut.

“Saya mahu mengajak saudara untuk memikirkan kesan akibat budaya LGBT yang akan dibawa bersama dalam konsert Coldplay nanti.

“Sanggupkah saudara menjadi salah seorang penyumbang kepada sebaran budaya tidak sihat terutama kepada anak-anak muda?” soalnya dalam Facebook.

Mohamad Kamal juga berharap Khairul Aming matang dalam membuat pertimbangan kerana dia tidak sepatutnya terlibat dalam kempen secara tidak langsung kerana dirinya juga adalah menjadi ikutan anak muda.

“Saya doakan saudara akan lebih berjaya dengan apa yang telah saudara usahakan dan terpaling saya doa adalah agar saudara membetulkan khilaf yang kesan akibatnya tidak terjangkau akal terhadap anak muda negara,” katanya.

Terdahulu, Khairul Aming meluahkan rasa teruja selepas berjaya membeli tiket dan berkongsi dengan orang ramai kaedah membeli tiket di zon standing.

Kongsinya, pembeli dinasihati untuk terus tekan dekat map bahagian standing tersebut.

Konsert Coldplay berjudul Music of Spheres World Tour akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula pukul 8.30 malam, 22 November depan.

Kedatangan kumpulan dari Britain ini ternyata mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis terjual dalam tempoh beberapa jam dibuka.

Coldplay yang dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion turut mengadakan konsert jelajah di beberapa negara Asia terpilih antaranya Taiwan, Jepun, Australia dan Jakarta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN