KUCHING: Setiap ketua parti di negara digesa henti memainkan isu politik dan beri fokus kepada pembangunan ekonomi di negara ini.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan menggesa agar setiap ketua parti memainkan peranan masing-masing dalam memberi fokus kepada pembangunan ekonomi di negara ini.
“Ini adalah permulaan baru untuk Malaysia, maksudnya kita mahu lihat sejauh mana kerajaan perpaduan ini boleh pergi, tetapi kita di GPS (Gabungan Parti Sarawak) kita mahu kerajaan yang lebih stabil. Maksudnya janganlah pula kerajaan setiap beberapa tahun kemudian bertukar. Jika tidak, pembangunan ekonomi kita akan terjejas.
“Apa yang kita mahukan daripada kerajaan perpaduan ini adalah kerajaan yang adil dan saksama, maksudnya memfokuskan kepada pembangunan secara menyeluruh di Malaysia terutamanya kita di Sabah dan Sarawak.
“Malah, saya juga yakin Sabah mahukan benda sama dan mereka tekankan agar kita jangan seperti 30 ke 40 tahun yang lalu,” katanya ketika diminta menggulas berhubung penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur kelmarin.
Dalam ucapan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu sebuah Kerajaan Perpaduan yang stabil dan kuat agar ia dapat menumpukan tenaga dalam meningkatkan martabat negara di peringkat antarabangsa.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kalinya itu telah menghimpunkan lima gabungan 19 parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan.
Justeru itu, Snowdan turut menggesa agar pemimpin-pemimpin di peringkat pusat mengambil iktibar kepada pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak yang telah jauh ketinggalan.
“Kita lihat contohnya di tempat-tempat yang banyak ketinggalan di Sabah dan Sarawak, justeru sebab itu kita selalu tekankan supaya di peringkat kerajaan persekutuan jika boleh peruntukkan yang lebih besar kepada kita agar seiring membangun.
“Justeru itu, ini masanya untuk kita membangun dengan slogan – Membina Bersama. Ini kerana kemungkinan bagi mereka itu, pada pimpinan yang lalu, Malaysia mungkin menghadapi sedikit masalah krisis dari segi ekonomi, ketirisan dan sebagainya. Jadi apa yang kita mahu sekarang adalah semua parti-parti menggembleng tenaga untuk membina Malaysia yang kukuh dan stabil,” tegasnya.
Tambah Snowdan lagi, malah UMNO turut berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia seperti dahulu.
Snowdan turut percaya penganjuran konvensyen tersebut adalah satu tempat untuk mencari satu titik kesamaan dan mengetepikan perbezaan politik bagi menstabilkan ekonomi dan membantu rakyat di negara ini.-utusan