JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bakal memberikan pampasan terhadap kerugian yang dihadapi sebanyak 176 kediaman di Kampung Melayu Majidee, di sini yang dilanda hujan ribut, petang semalam.
Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed berkata, jumlah pampasan bagaimanapun berlainan mengikut penilaian tahap kerosakan yang dibuat.
Menurut beliau, pemberian pampasan tersebut akan disalurkan secepat mungkin kepada mangsa yang layak.
“Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta kerja-kerja pembaikan disegerakan, untuk itu, satu sesi townhall akan diadakan untuk menerangkan kepada mangsa-mangsa terlibat.
“Penilaian terhadap kediaman yang rosak akan diselesaikan hari ini sekali gus melihat apa keperluan setiap kediaman kerana kerosakan mungkin berbeza.
“Beberapa agensi akan terlibat dalam menyalurkan bantuan termasuk Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru; Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Menteri Besar,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Onn Hafiz meninjau beberapa kediaman yang musnah akibat kejadian ribut yang melanda kawasan tersebut, petang semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah dan Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.
Sementara itu, Mohd. Hairi memberitahu, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang bertindak pantas dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas.
Sementara itu, salah seorang mangsa ribut, Liza Wati A. Gani, 36, pula memberitahu, dia amat mengharapkan bantuan dan sumbangan daripada kerajaan untuk membantu membaik pulih rumah pusaka keluarganya yang sudah berusia lebih 40 tahun.- utusan










