Kerajaan bincang dengan Goldman Sachs kembalikan aset 1MDB  - Utusan Malaysia

Kerajaan bincang dengan Goldman Sachs kembalikan aset 1MDB 

JOHARI Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka pelbagai usaha termasuk mengadakan perbincangan dengan bank pelaburan global, Goldman Sachs untuk mendapatkan kembali aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani antara lain berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam aspek penangkapan individu-individu yang terbabit dengan skandal syarikat pelaburan strategik itu.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, Pasukan Petugas 1MDB hanya menumpukan usaha untuk mendapatkan kembali aset milik 1MDB.

“Saya lebih menumpukan kepada mendapatkan kembali aset 1MDB. Mana-mana yang melibatkan kes-kes jenayah dan juga melibatkan penangkapan akan dibuat oleh pihak berkuasa.

“Jadi insya-Allah saya fikir lebih banyak yang kita tengah buat khususnya dengan Goldman Sachs,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Pintu Gerbang, Kampung Baru, di sini hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang seorang individu, dipercayai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. (SRC).

Individu itu difahamkan ditahan sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2), pada pukul 3.30 pagi, Rabu lalu. Sebaik sahaja tiba di KLIA Terminal 2, lelaki itu yang menghilangkan diri sejak 2018 diserah Notis Perintah untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Jumaat lalu, kerajaan dilaporkan berpendirian akan tetap membawa pulang Jho Low ke Malaysia secepat yang mungkin. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mengakui proses membawa pulang Jho Low adalah sukar.

Katanya, kerajaan sudah berunding dengan beberapa negara untuk mempercepat proses membawa Jho Low pulang, namun, tidak mendedahkan negara-negara yang dirunding mengenai hal itu.

Media melaporkan, penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale’, Bradley Hope mendakwa kerajaan dipercayai berunding dengan China untuk mengekstradisi Jho Low.

Memetik sumber, Hope yang menulis perkara itu dalam satu laman web untuk mengesan Jho Low berkata, rundingan tersebut diadakan semasa kunjungan rasmi Anwar ke China pada Mac lalu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan notis merah yang dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Jho Low masih aktif.

Notis tersebut turut membabitkan lima individu lain yang terlibat dalam skandal 1MDB, antaranya Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya