PETALING JAYA: Malaysia perlu mengemaskini data pengkelasan kumpulan pendapatan iaitu B40, M40 dan T20 terlebih dahulu sebelum melaksanakan penghapusan subsidi elektrik kepada golongan berpendapatan tinggi (T20).
Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ia kerana pengkelasan itu sudah ketinggalan zaman selain 70 peratus penduduk negara adalah dalam kategori B40 dan 10 peratus daripada T20 juga sudah jatuh.
“Kita di zaman big data analytics, di mana data adalah asas kepada semua perkara. Jika Malaysia tak boleh kumpul data mikro kepada isi rumah maksudnya kita berapa tahun kebelakang? Mungkin sudah ketinggalan 30 tahun.
“Kita perlu mempunyai data mikro untuk setiap isi rumah di Malaysia dan kita boleh dapatkan ia melalui penggunaan telefon. Jadi kita boleh dapatkan hampir sepenuhnya iaitu 99 peratus data sebenar mengenai isi rumah di Malaysia.
“Kita boleh biarkan data ini terus hidup, di mana setiap hari ia akan dikemaskini setiap masa. Di sini kita tidak lagi akan memberi subsidi mengikut kumpulan tetapi pendapatan sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu bahawa pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberi subsidi.
Kata Anwar, ia terpakai kepada golongan T20 yang menghuni rumah besar kerana yakin mereka mampu membayar kos elektrik dengan harga yang tinggi, tidak seperti golongan B40.
Barjoyai berkata, ketiadaan proses mengumpul data yang progresif menyebabkan terdapat individu yang berpendapatan tinggi yang pada masa sama menampung pelbagai tanggungan, tidak dapat bantuan.
“Pengkelasan sekarang ni apabila pendapatan lebih RM10,000 dikira sebagai T20 tetapi sebenarnya ada setengah daripada mereka mempunyai tanggungan yang banyak dan besar, mungkin ada hutang banyak serta menanggung keluarga yang besar.
“Kalau seseorang itu memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 sekali pun tetapi mempunyai tanggungan empat isteri dan 20 orang anak, memang sudah pasti tidak cukup,” katanya.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, pengumuman kerajaan mengenai tiada lagi subsidi elektrik kepada T20 bukannya satu bentuk diskriminasi kepada kumpulan itu.
Sebaliknya, jelas beliau, pengumuman kerajaan adalah untuk kembali kepada tujuan asal subsidi diberi dan diwujudkan.
Katanya, subsidi bertujuan membantu golongan-golongan memerlukan iaitu kumpulan berpendapatan rendah seperti B40 dan M40, namun ia tetap tidak mengetepikan hak-hak T20 yang juga rakyat negara ini.
“Subsidi adalah salah satu bentuk bantuan kerajaan kepada kumpulan yang memerlukan, kerajaan menganggap golongan T20 tidak memerlukan pertolongan lagi kerana meraih pendapatan besar untuk menampung perbelanjaan mereka.
“Ia tidak bermaksud untuk menghukum atau mendiskriminasi kumpulan T20, walaupun tidak mendapat ‘faedah’ sedangkan mereka penyumbang terbesar dalam bentuk cukai. Golongan tersebut sebenarnya sudah mendapat manfaat.
“Ini kerana kerajaan sudah bantu dengan menyediakan persekitaran dan infrastruktur untuk mereka menamatkan pelajaran dan peroleh peluang pekerjaan yang baik lalu mendapat gaji besar,” katanya.
Barjoyai juga mencadangkan, dalam mempraktikkan polisi tersebut, seharusnya kerajaan juga memberikan subsidi dalam bentuk kadar tarif yang progresif.
“Sama seperti bil air untuk masyarakat di Selangor, misalnya sekiranya penggunaan air kurang dari kadar ditetapkan tak perlu bayar tetapi jika tinggi perlu bayar. Perkara itu boleh dipraktikkan untuk elektrik kerana semua akan mendapat faedah,” katanya.
Sependapat dengan itu, penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sebaiknya kerajaan mempersiapkan pangkalan data tersebut terlebih dahulu sebelum mengeluarkan golongan T20 daripada penerima subsidi bagi mengelakkan ‘pukul rata’.
“Apabila pangkalan data itu sudah siap baharu kita keluarkan kumpulan T20 daripada menerima subsidi dan bantuan,” katanya.
Kata Abu Sofian, selepas itu kerajaan boleh membuka ruang rayuan untuk kumpulan T20 mengemukakan permohonan untuk mendapatkan subsidi dan bantuan tertentu.
“Jadi jika individu yang mempunyai pendapatan besar tetapi juga mempunyai tanggungan besar, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada kerajaan. Di situ, kita boleh lihat sama ada situasinya boleh dipertimbangkan atau tidak,” ujarnya. –UTUSAN










