Kekurangan bekalan gula bukan krisis - Utusan Malaysia

Kekurangan bekalan gula bukan krisis

SALAHUDDIN Ayub dan Mohamad Sabu menyampaikan duit raya kepada orang ramai yang menghadiri Rumah Terbuka Rahmah Aidifitri anjuran Parti Amanah di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Masalah kekurangan bekalan gula yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur bukan satu krisis yang berpunca daripada kekurangan bahan makanan itu di pasaran.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, orang ramai di Pantai Timur dinasihatkan tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan gula di pasaran mencukupi.

”Secara purata penggunaan gula untuk seminggu bagi negeri Pantai Timur ialah 400 tan metrik.

”Kita juga telah menambah bekalan gula sebanyak 36 peratus iaitu berjumlah 614.12 tan metrik bagi tempoh empat hari untuk menampung bekalan, jadi orang ramai jangan buat pembelian panik kerana bekalan mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Rahmah Aidifitri anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) di Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohammad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku kekurangan bekalan gula sehingga menjejaskan ramai golongan peniaga dan pengusaha premis makanan di Terengganu dan Kelantan.

Susulan masalah berkenaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Manis bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan gula di Pantai Timur sejak musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Menurut Salahuddin, hasil pelaksanaan Ops Manis yang dilancarkan bermula 3 hingga 6 Mei lalu mendapati isu gangguan bekalan yang berlaku semakin pulih.

”Pemborong-pemborong utama di kedua-dua negeri telah menerima bekalan daripada pengilang secara berperingkat untuk diedarkan kepada pemborong dan peruncit di seluruh kawasan dan kita juga mendapati aduan-aduan yang diterima semakin berkurangan serta menurun kepada purata satu aduan bagi sehari pemeriksaan sahaja,” katanya.

Tambah beliau, petugas khas juga melaporkan tiada kes diambil ke atas peniaga kerana tiada kesalahan sorok, enggan menjual barang kawalan atau lain-lain kesalahan ditemukan.

”Sehingga 6 Mei lalu, sebanyak 132 pemeriksaan telah dilaksanakan di Kelantan dan 224 pemeriksaan telah dilaksanakan di negeri Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya juga tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh pengilang yang memberi alasan kekurangan bekalan gula berkemungkinan disebabkan cuti panjang pekerja syarikat pengilang atau Distribution Centre (DC) sempena Hari Raya Aidilfitri.

”Kita akan kenal pasti dengan lebih mendalam apakah punca berlakunya kekurangan gula dan mencari jalan bagi mengelakkan berlaku masalah sama pada masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan akan mengumumkan mengenai Skim Insurans Rahmah dalam tempoh dua minggu lagi bagi membantu golongan B40 dan M40 melindungi kereta dan hartanah daripada bencana banjir.

“Kita akan umumkan perincian mengenai skim ini seperti berapa premium insuran dan sebagainya dalam tempoh dua minggu lagi dan akan melancarkan skim ini secara rasmi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya