KDN lupus 1.5 tan abu al-Quran - Utusan Malaysia

KDN lupus 1.5 tan abu al-Quran

SHAMSUL ANUAR Nasarah pada Program Pemuliaan (Pelupusan) al-Quran di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang hari ini. - Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melupuskan sebanyak 1.5 tan abu al-Quran di perairan berdekatan Pulau Kendi, di sini hari ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, proses pelupusan dijalankan di kedalaman 18 meter di perairan Pulau Kendi, kira-kira 15 batu nautika dari Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban, dekat sini pukul 10.30 pagi tadi.

Katanya, proses pelupusan berkenaan dilaksanakan mengikut garis panduan pelupusan teks al-Quran yang dikeluarkan KDN menerusi Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ).

Jelas beliau, sebanyak 1.5 tan abu bersamaan 2,750 naskhah al-Quran dikumpulkan menerusi tiga pendekatan iaitu penguatkuasaan, advokasi dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Melalui tindakan penguatkuasaan, pengumpulan teks dan bahan terhasil daripada rampasan al-Quran yang tiada perakuan daripada penjual, pengimport, pengedar di premis-premis jualan, simpanan, pintu-pintu masuk negara dan perniagaan secara online.

“Menerusi program advokasi antaranya kempen Jom Exchange al-Quran (JEQ) pula, kita kumpulkan al-Quran yang tiada perakuan KDN yang diserahkan secara sukarela oleh orang ramai dan kita tukarkan dengan al-Quran baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pemuliaan (Pelupusan) al-Quran di sini, hari ini.

Selain itu, al-Quran yang rosak akibat bencana dan usang yang dikumpulkan menerusi program komuniti turut dilupuskan dalam operasi sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak berharap masyarakat akan terus bekerjasama dan melaksanakan tanggungjawab dengan tidak membeli, menjual, mengedar al-Quran yang tiada perakuan KDN.

“Orang ramai boleh menyerahkan al-Quran berkenaan kepada mana-mana pejabat Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN untuk dilupuskan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Terima kasih kepada agensi-agensi lain antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kerana membantu melancarkan operasi hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.