Kabel lampu limpah Stadium Perak dicuri lagi - Utusan Malaysia

Kabel lampu limpah Stadium Perak dicuri lagi

RUMAIZI Baharin bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Lantikan dan Taklimat Kepada Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Area Officer di Stadium Indera Mulia Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memasang 17 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan Stadium Perak di sini susulan satu lagi kes kecurian kabel lampu limpah di stadium itu yang berlaku pada 11 Mei lalu, iaitu kejadian kedua selepas Februari lalu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kecurian kabel kali ini mengakibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM78,000.

“Kita akan pasang rakaman kamera litar tertutup berserta sistem penggera yang dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Pemasangan CCTV ini akan bermula pada Jun depan dan mengambil masa lebih kurang empat minggu dan dijangka siap pada Julai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Area Officer (AO) di Stadium Indera Mulia hari ini.

Menurutnya, ini merupakan kejadian kedua kecurian kabel dan komponen lampu limpah di stadium itu, dipercayai kerana nilai tembaga yang terdapat di dalam kabel tersebut.

Beliau berkata, kira-kira 50 kabel dan  komponen lampu dicuri dan setiap satu bernilai lebih kurang RM1,300.

Katanya, pihaknya juga telah menebang sebatang pokok yang besar dipercayai menjadi laluan kepada individu untuk masuk ke dalam bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di stadium itu.

“Ada banyak akses masuk, kemungkinan sewaktu kejadian pengawal keselamatan berada di pos pengawal dan kejadian dipercayai berlaku pada waktu tengah malam.

“Kes ini bukan kerja seorang, mungkin berdua atau bertiga sebab kita tengok kaedah kecurian ini berlaku sangat cepat. Sekarang ini pokok itu pun kita dah tebang, jadi orang tak boleh panjat,” katanya.

Rumaizi berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan kes itu masih dalam siasatan.

“Tahun ini sahaja sudah dua kali kes kecurian berlaku, kali pertama pada bulan Februari lepas,” katanya.

Terdahulu, kelab penyokong pasukan Liga Super Perak FC, TBG Super Fans memuat naik satu hantaran di Facebook pada 12 Mei lalu mengenai kes kecurian kabel lampu di stadium itu.

Sebelum ini, persiapan menghadapi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di Stadium Perak, terjejas susulan kes pecah masuk serta kecurian kabel dan komponen lampu limpah stadium itu pada Februari lalu, mengakibatkan jumlah kerugian dianggarkan RM135,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya