KOTA BHARU: Seorang lelaki sanggup menjual motosikal jenis Yamaha 125 ZR miliknya untuk dijadikan modal permulaan RM5,000 bagi mengusahakan ternakan ikan air tawar di Kedai Mulong, dekat sini.
Mohamad Firdaus Che Mohd. Adnan, 27, berkata, dia mula berjinak-jinak menternak ikan keli, tilapia dan patin di dalam kolam diperbuat daripada kanvas dan simen sejak awal tahun ini di belakang rumahnya.
Katanya, dia pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B) di luar negara, sebelum membuat keputusan menternak ikan pada tahun lalu.
“Saya memilih menceburi ternakan ikan air kerana senang diusahakan dan mudah dipasarkan. Kemahiran diperoleh melalui kursus pembenihan ikan yang saya ikut.
“Untuk mendapatkan modal permulaan, saya menjual motosikal kesayangan dan syukur usaha ini berjalan lancar. Alhamdulillah buat masa ini, pendapatan yang diperoleh memberangsangkan dan boleh mencecah RM5,000 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mohamad Firdaus berkata, ketika ini sebanyak 5,000 benih ikan keli,1,000 tilapia dan 2,000 ekor ikan keli diternaknya untuk dipasarkan di sekitar negeri ini.
Katanya, dia memasarkan produk ternakan ikannya melalui akaun media sosial TikTok yang kini mendapat sambutan baik.
“Usaha saya ini mendapat sokongan dan dorongan isteri, Nursyuhada Lotfi, 30, yang kini sarat mengandung dan bakal melahirkan anak kedua pada Jun nanti, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN











