KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menuntut penjelasan jika kerajaan melakukan proses tapisan terhadap beberapa syarikat tempatan yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat China, dengan komitmen pelaburannya sebanyak RM170 bilion.
Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, beliau mendapati terdapat beberapa syarikat yang tidak mempunyai jejak rekod mencukupi semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China sebelum ini.
“Baru-baru ini, Perdana Menteri ada membuat lawatan ke China menyaksikan 19 MoU yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat tempatan dan juga syarikat China yang berjumlah dijangka RM170 bilion.
“Adakah MITI atau MIDA telah melakukan tapisan terhadap syarikat-syarikat ini sebelum membawa Perdana Menteri untuk menyaksikan menandatangani MoU tersebut?
“Saya nampak daripada 19 MoU, ada beberapa syarikat yang tidak mempunyai ‘track record’ untuk kita persembah kepada China yang merupakan negara ekonomi kedua terbesar di dunia,” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata demikian meminta penjelasan jika membuat penelitian terperinci terhadap syarikat tempatan yang menandatangani MoU dengan syarikat China serta langkah diambil kementerian untuk memastikan MoU itu dapat direalisasi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong pula menjelaskan, proses itu akan dipantau oleh jawatankuasa secara khusus bagi memastikan ia dapat dilaksana dengan berkesan.
Katanya, pelaksanaan MoU itu turut dipantau mengikut proses biasa yang diamal Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Untuk masa depan, kerajaan akan dipandu dasar pelaburan baharu, membabitkan lima kriteria untuk kita menerima pelaburan, termasuk pelaburan asing.
“Ia termasuk meningkatkan kerumitan ekonomi kita untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi, memperluas rangkaian domestik, mewujudkan kluster ekonomi baharu dan tambahan apa yang sedia ada serta meningkatkan keterangkuman,” katanya. – UTUSAN










