Jangan heret rakyat fahaman ideologi sempit - PM

Jangan heret rakyat fahaman ideologi sempit – PM

ANWAR Ibrahim memukul gong sebagai simbolik perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hadir sama Fadhlina Sidek (dua dari kiri) dan Awang Sarian (kanan). - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin negara ini diingatkan supaya tidak mengheret rakyat kepada ideologi  sempit dan mengangkat peradaban sejajar dengan usaha Kerajaan Perpaduan di bawah gagasan  Malaysia Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seseorang yang ikhlas dan faham tentang kehilangan tokoh bukan hanya kesedihan yang perlu dirasai, sebaliknya menggali khazanah ditinggalkan serta menyalakan ideologi dilontarkan tokoh tersebut.

Mengambil contoh cendekiawan yang sangat prolifik dalam bidang penulisan, Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil, beliau berkata, Allahyarham yang juga sahabatnya itu adalah tokoh dengan pemikiran yang sangat luas, mendalami Islam dan budaya Melayu yang berakar dalam dirinya. 

“Beliau tidak terperangkap terhadap pemikiran sempit terhadap kaum,  jumud terhadap agama dan memahami erti demokrasi,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.  

Yang hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Siddiq adalah seorang cendekiawan yang telah menerbitkan pelbagai buku antaranya Sejarah Orang Cina di Tanah Melayu (1971); Kebangkitan Islam: Kenyataan dan Harapan (1975); terjemahan Di Bawah Naungan al-Qur’an (1980); Minda Melayu Baru (1992);  Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1999); Menoleh Sejarah Menyorot Arah (1999); Pengurusan Tawhidik (2001); Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik (2003) dan Pengurusan Dalam Islam: Menghayati Prinsip dan Nilai (2005).

Allahyarham merupakan seorang ahli akademik dan aktivis pendidikan di Malaysia dan juga Presiden Wadah Pencerdasan Ummah Malaysia (Wadah) sejak 2005 sehingga kematian beliau pada 2021.

Anwar berkata, demokrasi berlaku jika ada nilai kecerdasan di dalam diri rakyat. 

Jelasnya, negara tidak boleh berkembang tanpa tamadun dan ia harus didasari nilai akhlak dan keindahan manusiawi.

“Walaupun hidup di zaman kemajuan digital dan pemikiran kearah Sains dan Matematik, tetapi sebagai manusia kita tidak hanya terbentuk melalui teknologi semata-mata.

“Manusia juga terbentuk dengan bahasa dan budaya, walaupun ada segelintir yang memberi pandangan serong terhadap seni dan kebudayaan tidak relevan.

“Kita tidak boleh menerima fahaman cetek yang tidak mementingkan seni dan bahasa seperti itu, kerana apa yang diperkatakan itu perlu mengangkat martabat bangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Seri Dr. Awang Sarian berkata, semua pihak perlu meraikan tokoh yang mengangkat fikrah dan dakwah bagi mengangkat ilmu kebudayaan bahasa dan tamadun.

“Pemikiran dan hala tuju yang membangunkan negara perlu diangkat kerana perjuangan fikrah,” katanya.

Presiden Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Manusia (Wadah), Datuk Ahmad Azam A.  Rahman pula dalam ucapannya berkata, kini zaman kebangkitan islam Malaysia dengan memaknai ilmu al-Quran dan al-sunnah serta semangat mencari Islam.

“Pelbagai dasar telah dilaksana tanpa keazaman politik semata-mata. Mewujudkan masyarakat madani yang dibincang dalam konteks Malaysia Madani mampu mewujudkan bangsa Malaysia yang unggul,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya