Jalan tujuh kilometer cari pesakit di Mina

Jalan tujuh kilometer cari pesakit di Mina

FAZLI Ahmad (kiri) dan Muhammad Faizal Maarof mendengar penerangan mengenai maklumat pesakit ketika bertugas di pusat perubatan TH di Tanah Suci.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Meronda selama empat jam dengan berjalan kaki sejauh tujuh kilometer di sekitar kawasan perkhemahan jemaah haji Malaysia di Mina adalah antara cabaran yang perlu ditempuh petugas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bahagian perubatan.

Selain memerlukan stamina yang cukup, mereka perlu mempunyai kudrat untuk mengangkat pesakit terutama berbadan besar dan berkerusi roda sekiranya memerlukan rawatan lanjut.

Menceritakan pengalaman itu, Penolong Pegawai Perubatan Madinah, Fazli Ahmad, 47, berkata, rondaan dilakukan dalam suhu panas dan padat untuk mengesan jemaah yang mengalami masalah kesihatan.

Katanya, selepas meronda, mereka berehat pula dalam tempoh sama sebelum tugas diganti dengan rakan lain.

Katanya, ada satu kes ketika meronda dia ternampak seorang jemaah lelaki warga emas tersandar dan kelihatan keletihan di sisi isterinya.

“Saya dan rakan terus memeriksa tekanan darah dan jantungnya. Saya bertambah cemas mendapati suhu badannya sudah mencapai 41 darjah Celsius manakala tekanan darah menjadi rendah dan nadinya pula laju.

“Dalam hati saya kata macam dia kena strok haba. Dia enggan dirawat kerana berkeras mahu pergi melontar. Selepas saya memberitahunya melontar boleh dilakukan kemudian dan boleh diwakilkan kepada isteri, barulah dia mahu dibawa balik ke Mina untuk dirawat,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Fazli yang sudah dua kali menjadi petugas Tabung Haji berkata, dia gembira kerana dapat mengesan awal jemaah tersebut bagi mengelak kejadian lebih teruk berlaku.

Katanya, dia menerima peluang kedua berkhidmat kepada duyufurrahman kerana tidak sabar mahu menabur bakti di Tanah Suci lagi.

Sementara itu, Pegawai Farmasi Madinah, Muhamad Faizal Maarof, 38, berkata, dia teruja dapat berkhidmat buat pertama kali di Tanah Suci selepas membuat permohonan lebih 10 kali.

Katanya, semua ubat-ubatan dan perapatan pakai buang disediakan secukupnya sebagai persediaan untuk beroperasi.

“Ini pengalaman baharu buat saya dan pengalaman operasi yang jauh berbeza ketika berkhidmat sejak 2008 di farmasi Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

“Di sini segalanya saya perlu sediakan dan susun seperti stor, katil pesakit dan farmasi berbanding di Malaysia yang semuanya telah tersedia,” katanya.

Menurut Muhammad Faizal, antara tugasnya ialah memberi penerangan mengenai ubat dan mengingatkan jemaah kepentingan menjaga kesihatan.

“Ketika terima surat bertugas untuk TH, saya gembira dalam sedih kerana terpaksa meninggalkan isteri dalam tempoh yang lama tetapi saya lakukan juga demi tugas. Barang-barang saya pun dia yang masukkan dalam beg,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN