Isu sesak: Kerajaan belum mahu kawal kenderaan

Isu sesak: Kerajaan belum mahu kawal kenderaan

ANTHONY Loke ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal mengenai kesesakan jalan raya di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu kesesakan jalan raya yang berlaku terutamanya di Lembah Klang tidak akan dapat diselesaikan, kecuali terdapat perubahan dasar secara drastik dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini, kerajaan masih belum sampai ke tahap untuk memperkenalkan dasar kawalan kenderaan atau seumpamanya dan lebih tertumpu untuk melaksanakan langkah mitigasi bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Kesesakan ini tak akan selesai kecuali kita ada perubahan dasar secara drastik, tetapi kita belum sampai ke situ. Kita tak ada dasar lagi untuk mengawal kenderaan atau seumpamanya.

“(Tetapi) kenderaan bertambah setiap hari, terutamanya di Kuala Lumpur antara tempat yang banyak orang daftar kenderaan. Semalam, sistem (bidaan) nombor pendaftaran FF sampai ‘crash’ semua orang nak daftar untuk beli kenderaan baharu tapi itu bukan masalah pun, realitinya kita akan hadapi pertambahan kenderaan sepanjang masa.

“Kita hanya boleh laksana mitigasi, jangka panjangnya kita harap dapat mengubah sikap (pengguna) dan pada masa sama menambah baik infrastruktur pengangkutan awam,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Loke memaklumkan, beliau sudah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Selasa lalu bagi mendapatkan perkembangan mengenai salah laku kakitangan agensi di bawah kementeriannya.

Beliau turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan untuk memastikan semua kes tata tertib yang belum diselesaikan untuk diambil tindakan segera dan dilaporkan semula kepada SPRM.

“Ada yang kita telah selesaikan tapi mungkin kementerian belum lapor (semula) kepada SPRM, itu yang ada sedikit percanggahan dari segi jumlah kes tapi itu tak menjadi masalah. Yang pentingnya kita ambil tindakan daripada apa sahaja saranan SPRM.

“Itu komitmen yang saya berikan kepada SPRM bahawa kementerian akan beri kerjasama sepenuhnya, kes-kes mana yang belum diambil tindakan tata tertib akan disusuli segera,” katanya.

Sebelum ini, Loke memaklumkan akan bertemu SPRM bagi mendapatkan laporan lanjut susulan pendedahan mengenai salah laku kakitangan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan yang tidak diendahkan.

Ia susulan pendedahan Azam ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun agensi itu mengesyorkan tindakan diambil.

Menurut Azam, daripada keseluruhan 553 laporan, laporan tertinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia iaitu sebanyak 125 laporan diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya