Isu kalimah Allah libat akidah umat Islam - Noh

Isu kalimah Allah libat akidah umat Islam – Noh

pru15
NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 2004, Tan Sri Noh Omar menyokong kenyataan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik Kes Rayuan Kalimah Allah kepada Mahkamah Rayuan.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, isu tersebut bukan sahaja berkaitan dengan isu pentadbiran, istilah dan keselamatan tetapi ia juga melibatkan akidah orang Islam serta pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu di setiap negeri.

‘Untuk makluman, pada tahun 2005 ketika saya menjawat jawatan Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, (Pengerusi MAIS sekarang), kami dimaklumkan bahawa ada satu kontena dari Indonesia yang mengandungi Kitab Injil (Bible) yang menggunakan perkataan kalimah Allah, yang ditulis dalam bahasa Indonesia berada di Pelabuhan Klang.

“Saya mengarahkan agar kontena tersebut tidak dibenarkan masuk ke dalam negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Noh berkata, beliau merasakan ini mungkin merupakan satu perancangan yang dirancang oleh pihak tertentu untuk mengimport bahan bacaan yang berbentuk dakwah bagi sesuatu agama yang tertentu, yang boleh mengelirukan akidah umat Islam.

Pada ketika itu jelasnya lagi, Kerajaan Barisan Nasional adalah satu kerajaan yang kuat dan mempunyai sokongan 198 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat (Parlimen) iaitu sokongan lebih 2/3, maka tiada mana-mana pihak mempertikaikan tindakan tersebut.

“Sesungguhnya juga, saya menyokong kenyataan MAIS bahawa isu ini seharusnya dibawa ke pengadilan di Mahkamah Rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah adalah tempat terbaik untuk mencari jalan penyelesaian mengenai Isu kalimah Allah ini dan sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada Rayuan KDN (Kerajaan Persekutuan) maka Kerajaan Madani boleh meminda Undang-Undang sedia ada agar perkataan Kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat, hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja atau membuat undang-undang baharu yang mempunyai maksud yang sama,” ujarnya.

Tambahnya lagi, walaupun undang-undang tersebut berkemungkinan hanya terpakai di Wilayah Persekutuan tetapi ia boleh dijadikan panduan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk meminda atau membuat enakmen baharu berkaitan dengan isu kalimah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya