KUALA NERUS: Seorang ibu tunggal warga emas yang mengidap strok nekad mahu menunaikan ibadat haji walaupun hanya pergi bersendirian ke Mekah.
Zarinah Mohamad, 65, dari Kampung Serdang di sini berkata, walaupun pergerakannya terbatas, namun dia tidak gentar kerana yakin pertolongan Allah pasti ada buat dirinya sepanjang berada di Tanah Suci kelak.
Bekas guru di Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal memberitahu, dia mula diserang strok sejak tahun 2015 di bahagian kaki kanannya.
“Saya perlu berkerusi roda kerana sudah tidak larat berjalan. Insya-Allah petugas Lembaga Tabung Haji (TH) dan sukarelawan yang lain akan membantu pergerakan saya sepanjang berada di Madinah dan Mekah.
“Allah yang jemput saya ke sana, semoga Allah akan bantu meringankan semua urusan terutama rukun wajib haji sepanjang di Mekah.
“Lagipun, ini adalah kali ketiga saya mendapat tawaran, jadi risau pula kerana jika menolak, entah bila giliran nama akan dipanggil selepas ini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia ketika menjalani kursus perdana Haji di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini semalam.
Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya, ibu kepada empat cahaya mata itu tetap berharap rayuan adiknya untuk mengerjakan haji akan diluluskan pengurusan TH kerana dapat menemaninya ketika menunaikan ibadah itu.
Zarinah berkata, nalurinya lebih kuat mahu pergi menunaikan haji kali ini kerana dia menerima surat tawaran daripada TH pada tarikh yang sama dengan tarikh suaminya, Allahyarham Salim Bakar meninggal dunia iaitu pada 11 April yang lalu.
“Suami meninggal dunia pada tarikh itu pada tahun 2000 dan ditakdirkan Allah genap 23 tahun kehilangannya, saya menerima tawaran jemputan ke rumah-Nya,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi bakal jemaah haji, Murni Shahida Mohd. Asha’ri, 41, berkata, dia bersyukur kerana setelah tiga kali tertangguh, hasratnya mahu menunaikan haji akhirnya bakal tercapai pada tahun ini.
“Saya dan suami Hafizul Hakimee Mohd., 41, sepatutnya menunaikan haji pada tahun 2020 namun pandemik Covid-19 menyebabkan hasrat kami terkubur.
“Semua persiapan telah lengkap disediakan ketika itu namun apakan daya, impian kami terpaksa dilupakan seketika dan Alhamdulillah apabila menerima tawaran tahun ini, memang sangat gembira.
“Kami menggunakan semula barangan yang telah dibeli tiga tahun lalu contohnya kain ihram dan jubah serta peralatan yang lain kerana ia masih elok,” katanya.-utusan










