KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak akan menerima lagi subsidi dari kerajaan untuk tujuan menunaikan haji dan mereka harus menanggung kos tersebut sepenuhnya.
Golongan itu juga tidak akan dapat menikmati lagi subsidi penggunaan elektrik kerana mereka mampu membayar kos dalam jumlah yang besar, tidak seperti golongan berpendapatan rendah (B40).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem penyelarasan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini akan diguna untuk menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.
“Bantuan kewangan haji kepada B40 kita tambah, tetapi kepada T20 tidak ada lagi tambahan dan subsidi dari kerajaan.
“Mereka (T20) harus tanggung kos sepenuhnya haji kerana mereka mampu (bayar)
“Kerajaan juga tidak naikkan kadar elektrik melainkan kepada T20. Untuk T20 sahaja iaitu rumah-rumah besar yang didiami T20, tidak akan diberi subsidi elektrik,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkenaan dasar-dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksana sejak mentadbir negara bagi melonjakkan ekonomi negara, mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.
Minggu lalu, Anwar dilaporkan berkata, hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberi subsidi.
Kerajaan juga menolak untuk menaikkan tarif elektrik seperti yang ingin dilakukan Kabinet terdahulu.
T20 merujuk kepada golongan kaya dengan pendapatan isi rumah melebihi RM10,971 sebulan, manakala golongan M40 berpendapatan isi rumah antara RM4,851 hingga RM10,970 sebulan. – UTUSAN










