Gelang, tag nama hilang diganti segera

Gelang, tag nama hilang diganti segera

MOHAMAD Zamry Mohd. Noor (tengah) bersama petugas pusat khidmat pelanggan Tabung Haji di Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membuat penambahbaikan pusat khidmat pelanggan pada tahun ini dengan membahagikan aduan kepada lima kategori sebagai langkah memantapkan perkhidmatan mereka kepada dhuyufurrahman.

Pengarah Operasi Mekah, Mohamad Zamry Mohd. Noor berkata, lima kategori itu ialah aduan, permohonan, cadangan, penghargaan dan pertanyaan.

Katanya, pusat khidmat pelanggan adalah salah satu daripada empat bahagian pentadbiran yang disusun dalam operasi haji tahun ini selain pengurusan, penerbangan dan khidmat luar.

“Pusat itu akan menguruskan sekiranya jemaah haji mempunyai apa sahaja masalah bukan berkaitan ibadat seperti kehilangan gelang pengenalan diri, tag nama, aduan, kerosakan bilik, perkhidmatan agensi luar lantikan TH seperti Pos Malaysia, FGV Transport dan syarikat telekomunikasi Arab Saudi.

“Setiap laporan diselesaikan secepat mungkin dan tidak dibiarkan tergantung. Jika gelang atau tag nama hilang, kaunter menggantikannya segera selain memastikan agensi luar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Mohamad Zamry, sebelum ini semua aduan tidak dikategorikan hingga menimbulkan kekeliruan sama ada adakah ia masalah, penghargaan dan lain-lain.

Tambahnya, dengan adanya penambahbaikan pada tahun ini, setiap aduan dikategorikan mengikut kumpulan masing-masing supaya kita tahu apa masalah yang sering dihadapi oleh jemaah haji.

“Tahun ini Telekom Malaysia dan syarikat komunikasi tempatan, Libara, Mobily dan Zain diberi tanggungjawab membekalkan kad sim telefon bimbit yang perlu dibeli sendiri oleh jemaah sekiranya mereka berhajat untuk memilikinya,” katanya.

Ujar Mohamad Zamry, pejabat operasi Mekah turut bertanggungjawab memantau makanan yang dibekalkan kepada jemaah oleh pihak katering sepanjang keberadaan mereka di sini.

“Kami juga mengendalikan penerbangan fasa dua iaitu selepas wukuf untuk jemaah dan petugas pulang ke tanah air. Fasa satu iaitu penerbangan ke Tanah Suci dikendalikan oleh pihak domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN