Gajah liar musnahkan tanaman Orang Asli

Gajah liar musnahkan tanaman Orang Asli

KESAN najis yang ditinggalkan oleh gajah dapat dilihat di kawasan perkampungan Orang Asli di Kampung Gawin, Pos Gob di Gua Musang, Kelantan-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 40 keluarga di Kampung Gawin, Pos Gob di sini resah dengan kehadiran gajah liar yang memusnahkan tanaman yang merupakan sumber makanan mereka setiap tahun.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kesan kerosakan pada tanaman penduduk dapat dilihat secara jelas selain tompokan najis yang ditinggalkan oleh ‘orang besar’ itu.

Penghulu Kampung Gawin, Akek Bahil, 52, berkata, ancaman gajah itu berlarutan apabila  tanaman yang diusahakan penduduk seperti ubi kayu dan pokok pisang menjadi mangsa hingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.

Menurutnya, gajah berkenaan kembali sejak minggu lalu apabila memusnahkan tanaman seperti ubi kayu, pisang, ubi keledek dan pokok serai sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk.

“Insiden pertama berlaku Isnin minggu lalu yang sehingga tanaman penduduk kampung rosak. Kejadian kedua berlaku pada Khamis lalu yang memusnahkan ladang ubi kayu.

“Kejadian itu menyebabkan kami mengalami kerugian kira-kira RM2,000 dan jumlah ini adalah sangat besar bagi kami penduduk Orang Asli di kawasan ini,” katanya. 

Akek memberitahu, penduduk sedih kerana hasil titik peluh mereka mengusahakan sumber makanan dimusnahkan dalam sekelip mata oleh gajah berkenaan.

Katanya, laporan sudah dibuat kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk tindakan segera pihak yang berkenaan.

Seorang penduduk, Anita Alik, 49, berkata, gajah liar yang berkeliaran di kawasan kampung pada waktu malam itu juga memberi ancaman kepada keselamatan penduduk.

“Kami dapat mendengar dengan jelas bunyi gajah terbabit dan sangat takut sekiranya haiwan itu ‘naik minyak’ dan menyerang penduduk kampung.

“Saya harap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib untuk keselamatan penduduk agar kami tidak lagi menanggung kerugian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya