Foodpanda sahut inisiatif KPDN dengan Menu Rahmah RM5 ke bawah - Utusan Malaysia

Foodpanda sahut inisiatif KPDN dengan Menu Rahmah RM5 ke bawah

SALAHUDDIN Ayub (kanan) bersama Sayantan Das melakukan gimik pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Pejabat Foodpanda. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan pesanan set hidangan makan tengah hari atau makan malam berkonsepkan ‘Rahmah’ menerusi aplikasi dan laman sesawang Foodpanda pada harga RM5 ke bawah.

Bagaimanapun, struktur pembayaran kepada penghantar makanan tetap sama jika menghantar item Menu Rahmah atau bukan, malah pendapatan mereka bagi setiap perjalanan tidak akan dikurangkan di bawah inisiatif itu.

Inisiatif yang diambil syarikat penghantar makanan terbesar itu sekali gus menyusuli kempen yang dicetus oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN), Datuk Seri Salahuddin Ayub melalui program Menu Rahmah bermula Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, Foodpanda berganding bahu dengan rakan kongsi restoran dalam usaha menawarkan item Menu Rahmah untuk dihantar kepada pelanggan dan menjadikannya sebagai saluran perintis penghantaran makanan yang menawarkan perkhidmatan itu di negara ini.

“Foodpanda Malaysia komited memastikan pelanggannya boleh memesan pelbagai penawaran Menu Rahmah tidak kira di mana mereka berada dengan hanya beberapa klik menerusi aplikasi kami.

“Kami berbesar hati kerana mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada beberapa vendor untuk meluaskan lagi capaian item Menu Rahmah mereka, di samping memainkan peranan kami dalam usaha meringankan beban rakyat Malaysia,” katanya semasa pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Foodpanda di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Salahuddin.

Selain Menu Rahmah, Foodpanda Malaysia akan melaksanakan tiga inisiatif lain di bawah Program Payung Rahmah iaitu Bakul Rahmah, Jualan Rahmah dan Pakej Rahmah.

Pakej Rahmah Pandamart menawarkan dua pakej barangan runcit pada harga RM50 dan RM30, dengan penjimatan sehingga 25 peratus untuk pembeli yang mahu mendapatkan tawaran terbaik semasa membeli-belah barangan keperluan harian, manakala Jualan Rahmah pada harga RM5.

Turut menjayakan inisiatif itu bersama Foodpanda ialah OldTown White Coffee, Texas Chicken, Lim Fried Chicken Daporlah serta 16 jenama restoran lain.

Foodpanda Malaysia turut menyumbang 300 pek bungkusan Bakul Rahmah yang keseluruhannya bernilai RM15,000 dan akan diserah kepada rakan strategik KPDN, Yayasan Rahmah Malaysia.

Sementara itu, Salahuddin memuji komitmen Foodpanda untuk meluaskan capaian Menu Rahmah kepada lebih ramai rakyat negara ini.

“Usaha kami dalam menjadikan Menu Rahmah lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia daripada segenap lapisan dan peringkat pendapatan tidak akan berjaya tanpa penyertaan sukarela pengendali restoran dalam sektor swasta,” katanya.

Bagaimanapun katanya, KPDN akan mengadakan mesyuarat khas dengan penggerak industri pada akhir bulan depan, bagi membuat penilaian dan menambah baik Program Payung Rahmah.

“Kita akan melihat secara keseluruhan mengenai apa juga tindakan, kesan langsung dan pandangan, malah KPDN terbuka menerima sebarang kritikan bagi memastikan dalam tempoh enam bulan seterusnya, inisiatif ini dapat ditambah baik,” katanya.

Beliau yakin, inisiatif Payung Rahmah akan terus mendapat sambutan selepas menerima banyak penyertaan daripada penggerak industri dalam pelbagai sektor.

“Jika di peringkat awal, ada yang skeptikal dan saya sendiri pun tidak menyangka ia akan sampai sejauh ini. Namun, dengan penyertaan Foodpanda dan lebih ramai lagi yang menyertai inisiatif ini akan menjadikan program ini dapat diurus tadbir pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya