PETALING JAYA: Kerajaan dan pembangkang perlu fokus dalam isu yang dekat dengan rakyat dan bukannya sibuk berebut kuasa.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah menyatakan keberanian beliau untuk meminta mana-mana pihak membuktikan sokongan mereka di sidang Parlimen.
Malah katanya, Anwar juga berjanji tidak akan menggantung Parlimen untuk mengekalkan kuasa seperti Perdana Menteri sebelum ini.
“Jadi sekarang ini sebelum sidang dewan, baik kerajaan dan pembangkang kita fokus dulu isu mahu bantu rakyat.
“Isu ekonomi, isu kesihatan, isu air itu lebih penting daripada sibuk mahu rebut kuasa. Nanti sudah ada sidang dewan, bawalah nombor apa yang ada. Jangan bawa nombor 4D sudah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam media melaporkan, Anwar dalam ucapan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di Pulau Pinang mencabar pembangkang membuktikan mereka mempunyai majoriti yang cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pada sidang Parlimen yang dijadualkan hujung Mei ini.
Tegasnya, beliau bukan Perdana Menteri yang akan mengelak untuk berdepan dan berentap berhubung keabsahan itu di Parlimen seperti yang dilakukan Perdana Menteri sebelum ini yang memilih mengisytiharkan darurat dan menangguhkan sidang Parlimen.
Ia susulan desas-desus yang semakin hangat diperkatakan di dalam media sosial ketika ini berhubung kemungkinan Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan hilang majoriti seterusnya ditumbangkan. – UTUSAN