BATU GAJAH: Dalam keseronokan pulang beraya ke kampung halaman, pasti terselit rasa bimbang dalam kalangan pemilik rumah untuk meninggalkan kediaman masing-masing.
Ketiadaan penghuni dalam tempoh yang lama sudah pasti memberi ruang untuk penjenayah merencana kegiatan jenayah termasuk merompak atau memecah masuk rumah.
Mengambil kira kebimbangan itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tasek Putra, Tronoh menggerakkan inisiatif menjalankan rondaan cegah jenayah bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan perumahan terjamin.
Namun apa yang menariknya rondaan oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) itu dilakukan menggunakan khidmat tiga ekor kuda dinamakan Fateh, Melor dan Shammus.
Menurut Pengerusi KRT, Shahril Ridhwan Jalaludin, rondaan meliputi tujuh taman perumahan membabitkan kira-kira 700 kediaman itu dijalankan secara bergilir dengan disertai 20 anggota SRS.
Katanya, tujuh kawasan perumahan terlibat ialah Taman Tasek Putra; Universiti Fasa 1, 2 dan 3; Taman Tronoh Awana; Tronoh Akasia dan Uni Park Land.
“Inisiatif ini diambil kerana kebetulan kita memang mempunyai kandang kuda yang dibina di sini selain mempunyai pelatih bertauliah dalam mengendalikan haiwan berkenaan.
“Usaha ini bukan sahaja mendapat kebenaran pihak pemaju malah menerima sokongan pihak berkuasa dalam usaha mencegah jenayah,” katanya.
Jelasnya, terdapat empat kuda di taman perumahan itu namun hanya tiga ekor digunakan untuk rondaan.
Katanya, selain pelatih kuda dan dirinya, terdapat dua lagi penduduk memiliki autoriti dan mahir mengendalikan haiwan tersebut. – UTUSAN










