Dua rakan dipenjara lima tahun sebabkan kematian tanpa niat - Utusan Malaysia

Dua rakan dipenjara lima tahun sebabkan kematian tanpa niat

MUHAMAD Iman Divaharan (dua dari kiri) dan Suria Sekaran (tiga dari kiri) terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Ipoh meminda pertuduhan daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat terhadap seorang lelaki, tiga tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua rakan terlepas hukuman mati di mahkamah tinggi di sini hari ini selepas pihak pendakwaan meminda pertuduhan daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat terhadap seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap tertuduh, Muhammad Iman Divaharan Abdullah, 44, dan G. S. Suria Sekaran, 27, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mahkamah memutuskan hukuman penjara ditetapkan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Mac 2020.

Pertuduhan pilihan itu ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya setelah representasi yang dikemukakan kedua-dua tertuduh kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), telah diterima.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki terbabit didakwa dalam mencapai niat bersama membunuh Ling Hua Chai, 47, di hadapan sebuah premis karoke di Persiaran PM 2/5, Pusat Bandar Manjung, Seri Manjung pada pukul 11.30 malam pada 7 Mac 2020 hingga 12.20 pagi, 8 Mac 2020.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Iman Divaharan dan Suria Sekaran sebelum ini dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala Muhammad Iman Divaharan diwakili Peguam Charan Singh dan Suria Sekaran pula diwakili Tun Mohamad Ammar Aziz.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kepentingan awam dan perbuatan mereka telah menyebabkan kehilangan nyawa.

Bagaimanapun Charan Singh memohon hukuman ringan memandangkan fakta kes menunjukkan penglibatan anak guamnya yang bekerja sebagai pegawai keselamatan itu tidak begitu serius.

Malah, Tun Mohamad Ammar juga memohon hukuman ringan dikenakan dari tarikh tangkapan memandangkan tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai penjaga parkir telah berusaha bekerja membantu ibu serta adik-beradik yang lain.

“Ketika kejadian, tertuduh masih muda dan kes ini merupakan kesalahan pertama dilakukannya. Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah dan insaf atas apa yang telah terjadi.

“Senjata pisau yang digunakan adalah untuk cubaan melarikan diri daripada serangan ke atas dirinya,” katanya.

Mengikut fakta kes, berlaku pertengkaran antara kedua-dua tertuduh dengan mangsa dipercayai akibat rasa tidak puas hati apabila kenderaan tertuduh pertama iaitu Muhammad Iman menghalang laluan keluar masuk kenderaan.

Semasa pergaduhan, tertuduh kedua iaitu Suria Sekaran telah menggunakan pisau terhadap mangsa hingga mengakibatkan kecederaan.

Mangsa yang kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seri Manjung disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.43 tengah hari pada 9 Mac 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.