Dua loji rawatan air yang terjejas beroperasi semula

Dua loji rawatan air yang terjejas beroperasi semula

KEADAAN air surut yang berlaku disebabkan kerosakan pintu baraj Sungai Muda di Tikam Batu, Sungai Petani. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua loji rawatan air (LRA) yang terjejas ekoran terpaksa dihenti tugas akibat paras air Sungai Muda di Tikam Batu, Sungai Petani surut mendadak sudah mencapai tahap pulih 100 peratus.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan, LRA Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech sudah mula beroperasi pada kadar maksimum bermula pukul 12 tengah hari ini.

Namun, usaha untuk meningkatkan pengoperasian LRA Sungai Petani masih dilakukan ketika ini setelah mencapai tahap 40 peratus sehingga tempoh sama.

Sementara itu, kira-kira 53,000 atau 30 peratus akaun pengguna di daerah Kuala Muda sudah menerima bekalan air di kediaman dan premis masing-masing secara berperingkat.

Sebanyak 56,000 akaun atau 70 peratus pengguna di Kulim juga sudah pulih daripada gangguan luar jangka berkenaan.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air terawat di kawasan terjejas adalah berbeza dan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” kata syarikat itu, hari ini.

Gangguan bekalan air luar jangka berlaku disebabkan penurunan mendadak paras Sungai Muda setelah salah satu pintu baraj yang mengalami masalah sensor terbuka sendiri sehingga membawa kepada pengaliran air dalam kuantiti amat banyak terus ke laut.

Tiga daerah di negeri ini terjejas iaitu Kuala Muda, Kulim dan sebahagian Baling yang membabitkan kira-kira 250,000 akaun pengguna.

Dalam pada itu, SADA memaklumkan lapan buah Jumbo Tanker dengan kapasiti 10,000 gelen dan empat buah lori tangki SADA dengan kapasiti 2,500 gelen telah digerakkan ke lokasi Pusat Agihan Bantuan (PAB) di daerah Kuala Muda dan Kulim sejak semalam.

“Lapan buah lori tangki SADA dengan kapasiti 1,100 dan 600 gelen serta 26 buah lori tangki kontrak dengan purata kapasiti 800 gelen turut menghantar bekalan air ke sembilan lokasi PAB.

“Keutamaan turut diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian bagi meringankan beban pengguna yang terkesan dengan gangguan bekalan air yang berlaku disebabkan penurunan paras Sungai Muda,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya