BACHOK: Langkah berjimat cermat dan disiplin menabung membolehkan dua warga emas yang juga ibu dan bapa tunggal menunaikan haji buat kali pertama tahun ini.
Bakal haji B40, Nik Naemah Yaakub, 78, dari Wakaf Bharu berkata, dia sangat teruja mendapat peluang menunaikan ibadah haji selepas 15 tahun menabung dan menunggu untuk melengkapkan Rukun Islam kelima itu.
Menurutnya, sumber pendapatan yang kecil sebagai suri rumah dahulunya membataskan dirinya untuk melaksanakan ibadah itu dalam usia muda.
“Syukur, lima anak turut membantu menggenapkan keperluan kewangan bagi melengkapkan Rukun Islam kelima.
“Insya-Allah…saya diberi semangat dan kudrat yang kuat serta kesihatan yang baik walaupun ke tanah suci tanpa ahli keluarga,” katanya ketika ditemui pada Kursus Perdana Bakal Haji Kelantan di UMK kampus Bachok, semalam.
Dia adalah sebahagian daripada lebih 1,000 bakal haji Kelantan yang mengikuti Kursus Perdana Haji 2023 Peringkat Negeri selama dua hari di Dewan Tengku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, berakhir semalam.- utusan










