Dana judi: usah putar belit, jawapan tidak nyata siasatan dihenti

Dana judi: Usah putar belit, jawapan tidak nyata siasatan dihenti – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mana-mana pihak diminta untuk tidak mempolitikkan dan memutarbelitkan status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sumbangan dana judi kerana jawapan dalam Dewan Rakyat tidak menyatakan apa-apa siasatan berkenaan dengan dakwaan itu sudah dihentikan atau digugurkan. 

Menegaskan perkara itu, Menteri, di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tiada fail siasatan dibuka yang dinyatakan mewakili SPRM itu memandangkan maklumat yang diperoleh setakat ini adalah bersifat umum. 

“Dalam hal ini, SPRM sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan-siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 [Akta 694] atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa berdasarkan kepada maklumat dan juga bukti yang diperoleh dari semasa ke semasa.

“Pada masa yang sama, adalah penting untuk ditegaskan bahawa selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti. 

“Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah,” katanya. 

Terdahulu, pembangkang menyifatkan jawapan bertulis Azalina kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung status siasatan dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi bagi membiayai kempen pilihan raya lepas itu menjadi bukti jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfitnah dan menipu dalam sidang medianya sebelum ini. 

Malah, beberapa pimpinan tertinggi PN dan Pas juga dilapor menggesa Anwar memohon maaf dan mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Tambun itu. 

Mengulas lanjut, Azalina berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang diberikan serta membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri.

“Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip rule of law dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat,” katanya. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya