BANGKOK: Thailand merancang membatalkan projek mega jambatan darat yang dicadangkan untuk menghubungkan Teluk Thailand dan Laut Andaman selepas kajian kerajaan mendapati projek itu tidak lagi berdaya maju dari segi ekonomi serta membawa risiko ketara kepada alam sekitar.
Jawatankuasa kerajaan mencadangkan supaya projek berkenaan dihentikan, yang sebelum ini dianggarkan menelan kos kira-kira 1 trilion baht (RM156.6 bilion), kata Menteri Kewangan Thailand, Ekniti Nitithanprapas, dalam sidang media semalam.
Menurutnya, kajian terkini mendapati projek itu akan mencatat kerugian secara keseluruhan berbanding penilaian terdahulu yang mengunjurkan manfaat ekonomi besar.
Projek sepanjang 100 kilometer (km) itu dicadangkan bagi memendekkan tempoh perjalanan kapal antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelakkan laluan Selat Melaka.
Cadangan itu kembali mendapat perhatian tahun ini apabila ketegangan di sekitar Selat Hormuz meningkatkan kebimbangan terhadap kelemahan laluan perkapalan global.
Pada April lalu, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn, berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.
Kajian itu turut mendapati pulangan kewangan dijangka menurun kepada 4.8 peratus berbanding 8 peratus sebelum ini, manakala jumlah kargo yang dijangka melalui laluan itu diunjurkan sehingga 16 peratus lebih rendah daripada anggaran terdahulu.
Seorang pegawai berkata, sembilan daripada 10 syarikat perkapalan terbesar dunia telah pun melabur dalam projek-projek pesaing, menyebabkan minat terhadap cadangan projek jambatan darat itu menjadi terhad.
Cadangan projek itu merangkumi pembinaan pelabuhan laut di kedua-dua belah semenanjung selatan Thailand yang akan dihubungkan melalui rangkaian lebuh raya dan landasan kereta api.
Idea tersebut menggantikan cadangan lama Thailand yang wujud sejak beberapa dekad lalu untuk menggali terusan merentasi Segenting Kra.
Secara berasingan, kajian terkini memberi amaran projek itu boleh menjejaskan kawasan sensitif alam sekitar, termasuk rizab biosfera dan kawasan tanah lembap di Ranong, selain mengancam lokasi utama pelancongan marin.
Ekniti berkata, berbanding meneruskan projek jambatan darat, kerajaan kini merancang menaik taraf Pelabuhan Ranong serta membangunkan rangkaian kereta api yang menghubungkan pantai Andaman dengan sistem rel sedia ada Thailand bagi meningkatkan pengangkutan kargo.- BLOOMBERG










