Qais dan Laila: perjalanan menuju Ilahi - Utusan Malaysia

Qais dan Laila: perjalanan menuju Ilahi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teater Qais dan Laila yang di Panggung Bangsawan Melaka pada 24 dan 25 Julai lalu berjaya membuatkan audiens yang menyaksikannya tenggelam dalam lautan emosi sepanjang hampir tiga jam dipentaskan.

Setiap babak disusun cermat, membuatkan penonton merasai sendiri penderitaan, kerinduan dan pengorbanan yang dilalui kedua-dua watak utama.

Pasukam produksi tidak sekadar mengangkat kisah cinta Qais dan Laila, sebaliknya membuka dimensi baharu dengan penceritaan yang diterjemahkan dalam perjalanan rohani menuju kecintaan kepada Ilahi, menjadikan naskhah ini lebih dekat dengan jiwa penonton.

Pengarahnya, Lokman Ghani juga wajar diberi pujian kerana berjaya mengimbangi elemen tradisional dengan gaya pementasan moden tanpa menghilangkan roh karya asal, membuatkan pertukaran babak berlangsung lancar dalam perjalanan cerita yang mengekalkan momentum sehingga akhir persembahan.

Menampilkan pentas yang ringkas, produksi memanfaatkan permainan cahaya, visual latar dan prop bagi menghidupkan suasan. Perubahan pencahayaan menjadi bahasa emosi yang mengiringi watak daripada saat bahagia sehingga detik yang memilukan.

Gabungan muzik Timur Tengah bersama alunan moden berjaya membangkitkan suasana dramatik, menjadikan setiap lagu yang dipersembahkan bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi medium yang meluahkan pergolakan jiwa setiap watak.

Barisan pelakon, Datuk Jalaludin Hassan, Ashraf Muslim, Raja Ema, Syahir Syafein, Isyariana dan Rashid Din cemerlang dengan lakonan yang penuh penghayatan. Setiap dialog dan nyanyian disampaikan dengan penuh meyakinkan, memanah emosi ke hati penonton.

Watak Qais muncul sebagai nadi utama pementasan apabila transformasinya daripada seorang pemabuk cinta kepada insan yang mencari makna kehidupan dipersembahkan dengan cukup berkesan. Laila pula sekadar simbol kecantikan, malah digambarkan sebagai wanita yang teguh mempertahankan cinta dalam himpitan adat dan tuntutan masyarakat.

Koreografi turut melengkapkan penceritaan. Setiap gerak tari membantu menghidupkan naratif dan menjadikan setiap babak lebih bertenaga serta penuh makna.

Produksi ini tidak bergantung kepada kemewahan set atau kecanggihan teknologi untuk memukau penonton. Sebaliknya, bersandarkan gabungan lakonan mantap, naskhah yang puitis, muzik yang menyentuh jiwa serta pengarahan yang berjaya membina hubungan emosi dengan khalayak.

Secara keseluruhannya, Teater Muzikal Qais & Laila bukan sekadar mengangkat semula sebuah penceritaan, malah membuktikan teater masih mempunyai kuasa besar untuk menyentuh hati penonton.

Dengan olahan yang segar dan pengisian yang sarat makna, pementasan selama dua malam itu meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang hadir menyaksikannya.

Pementasan ini dianjurkan oleh Persatuan Teater Malaysia (PERTEM) dengan sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam usaha memperkasa seni teater sebagai warisan budaya yang terus relevan merentas generasi.

Lebih bermakna, pementasan itu turut disaksikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, sekali gus memperlihatkan penghargaan terhadap usaha mengangkat seni teater sebagai antara warisan budaya yang terus mendapat tempat dalam masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN