BN tiada halangan RCI Tabung Haji didedahkan

BN tiada halangan RCI Tabung Haji didedahkan

MOHAMAD Hasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan kepada umum.

Parti itu juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laporan siasatan itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik dan tiada sebab untuk sebarang maklumat mengenainya disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

“Sebarang keputusan atau tindakan susulan berdasarkan laporan RCI berkenaan adalah terpulang kepada kerajaan memandangkan BN tidak pernah membantah perkara itu.

“Laporan RCI ini hendak dibawa ke Parlimen pun boleh, hendak didedahkan kepada umum pun boleh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau turut mempersoalkan mengapa isu RCI TH dibangkitkan secara tiba-tiba ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sedang berlangsung.

“Saya tidak faham mengapa ketika pilihan raya ini RCI Tabung Haji menjadi isu yang begitu hangat. Saya tidak tahu apa kaitan RCI Tabung Haji dengan Negeri Sembilan.

“Saya tidak tahulah kalau ada apa-apa yang terselindung dalam laporan RCI itu kerana saya tidak mempunyai akses kepada dokumen berkenaan.

“Saya pun tidak membacanya kerana ia belum didedahkan. Apabila didedahkan nanti, barulah kita akan tahu apa masalah dan isu yang telah disiasat oleh badan RCI berkenaan, insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan bahawa Kabinet akan bersetuju dengan cadangan untuk mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum selepas ia dibawa bagi pertimbangan Jemaah Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN