Bertongkat tidak halang Norjannatun tunai haji

Bertongkat tidak halang Norjannatun tunai haji

NORJANNATUN Shamsir Alam tekad tidak menolak tawaran menunaikan ibadah haji tahun ini meskipun terpaksa bertongkat kerana kaki kirinya patah akibat terjatuh ketika menuruni tangga di sekolah tempatnya mengajar. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Meskipun terpaksa bertongkat kerana patah kaki tidak melunturkan semangat seorang guru untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norjannatun Shamsir Alam, 44, berkata, dia terpaksa menggunakan tongkat berikutan kaki kirinya yang patah akibat terjatuh pada Januari tahun lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia yang mengajar di sebuah sekolah di Temerloh, dekat sini terjatuh semasa hendak menuruni tangga.

“Ketika itu saya tidak sedar macam mana boleh terjatuh. Saya tidak dapat bangun dan guru lain membawa saya ke hospital.

“Sejak dari itu saya terpaksa menggunakan tongkat dan ia memakan masa yang lama untuk sembuh,” katanya di sini semalam.

Menurut Norjannatun, panggilan haji tahun ini kali kedua diterimanya yang mana pada tahun lalu dia terpaksa menolak tawaran mengerjakan ibadah itu berikutan tempoh masa singkat untuk melakukan persiapan.

“Tahun lalu saya dapat panggilan haji tapi dalam tempoh terlalu singkat. Saya tidak sempat melakukan persiapan, jadi terpaksa tolak. Tahun ini, saya dimaklumkan lebih awal dan sempat enam minggu menyertai kursus haji, tetapi terjatuh dan kaki patah pula.

“Namun saya tekad untuk tidak tolak tawaran kali ini. Ditemani adik perempuan, saya tekad untuk pergi mengerjakan haji walaupun dalam keadaan begini,” katanya.

Ibu kepada dua orang anak itu juga berkata, dia sudah mendapatkan nasihat doktor berkenaan tahap kesihatannya sebelum bersetuju untuk menerima tawaran haji berkenaan.

“Doktor kata saya tiada masalah kesihatan melainkan kaki belum sembuh. Doktor nasihatkan saya untuk membawa bersama tongkat dan jika terasa sakit atau tidak larat, saya boleh guna kerusi roda.

“Pengurusan Tabung Haji juga banyak membantu dan sentiasa prihatin bertanya tentang keadaan saya selain mereka memaklumkan akan membantu sebaik mungkin sepanjang berada di sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×