KOTA BHARU: Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) menuntut kerajaan supaya memberi bantuan tunai bersasar sebanyak RM300 sebulan kepada pekebun selepas hasil pengeluaran bahan mentah itu merosot akibat kemarau yang sedang melanda negara ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Kameruzaman Ab. Rahman berkata, bantuan itu amat diperlukan bagi membolehkan pekebun kembali ‘bernafas’ selepas hasil getah mengalami kemerosotan yang agak ketara ketika ini.
“Jika cuaca panas berterusan, daun getah akan menjadi kering dan luruh. Berpandukan kepada pengalaman, selalunya susu getah tidak akan keluar bila keadaan cuaca panas dan kemarau.
“Mengikut data yang kita terima, hasil getah sudah menyusut sebanyak 50 peratus akibat cuaca yang sedang melanda negara ketika ini,” katanya selepas diminta mengulas keluhan penoreh yang mendakwa hasil mereka berkurangan akibat cuaca panas dan kemarau.
Kameruzaman memberitahu, jika kerajaan tidak menghulurkan bantuan berkemungkinan besar pekebun getah akan berdepan dengan masalah kewangan.
Katanya, sudah tiba masanya kerajaan duduk semeja dengan pemain industri getah termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kemahiran untuk mencari jalan menyelesaikan isu dan masalah berkaitan industri getah di negara ini.
“Pihak kerajaan kena terima hakikat bahawa usaha-usaha yang dibuat untuk beberapa tahun ini dilihat gagal untuk menangani isu industri getah negara.
“Produksi getah masih kurang, pendapatan pekebun kecil rendah dan isu penoreh getah yang tertinggal dalam pembahagian insentif-insentif kerajaan masih terus berlaku,” jelasnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, cuaca panas yang melanda negeri ini menyebabkan susu getah berkurangan sehingga menjejaskan pendapatan penoreh getah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hasil jualan getah beku merosot sehingga 50 peratus.
Seorang penoreh, Azizah Shafien, 57, berkata, musim panas menyebabkan daun pokok getah gugur dan susu getah kurang tetapi dia perlu menoreh kerana itu adalah pendapatan utama keluarganya.
“Biasanya saya memperoleh 200 kilogram hasil torehan untuk dua minggu tetapi sejak kemarau ini hanya memperoleh 100 kilogram susu getah.
“Apabila dijual hanya dapat RM270 dan perlu dikongsi pula dengan tuan tanah kerana pawah,” katanya. – UTUSAN










