'Beri akses pendidikan untuk semua'

‘Beri akses pendidikan untuk semua’

MAZLAN Mohamad (kiri) dan Nuinda Alias dipilih sebagai Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Tokoh Guru Kebangsaan 2023 pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-52 di MITC, Ayer Keroh. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Akses kepada pendi­dikan perlu diberikan kepada se­mua tanpa mengira latar belakang seseorang.

Itu pegangan bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohamad yang berusaha tanpa jemu dalam memastikan pendidikan sampai kepada setiap lapisan masyarakat termasuk anak-anak gelandangan.

Penerima Anugerah Tokoh Ke­pemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023 itu berkata, perjuangannya bukan bertujuan me­raih anugerah tetapi mele­takkan matlamat perkhidmatan supaya pendidikan mesti dikuasai oleh semua.

“Menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang guru dan pendidik untuk memastikan anak murid mendapat pendidikan sewajarnya.

“Jadi itulah yang menjadi legasi dan pegangan hidup saya yang banyak tertumpu kepada apa yang dikatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2000-2010. Sekolah kurang bernasib baik dan sekolah-sekolah kurang beruntung menjadi fo­kus kerja saya.

“Malu kita nanti jika negara sudah maju tetapi masih ada anak-anak yang tercicir daripada arus pendidikan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023, Datuk Dr. Nuinda Alias, 61, berkata, pengiktirafan berkenaan adalah detik manis sepanjang beliau bergelar pendidik dan pemimpin sekolah.

Menurut bekas Pengetua Cemerlang Maktab Sabah itu, titik perjuangannya adalah untuk membantu para pelajar serta membuat kelainan terhadap potensi yang boleh dicapai murid dan guru.

“Saya memang tidak terfikir untuk mendapat anugerah ini. Saya selalu katakan hendak jadi guru hati kena ikhlas. Kita harus mendidik hati nurani dan semangat kerana keikhlasan itulah kita serahkan kepada Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN