KYIV: Tentera Laut Ukraine pada Ahad memaklumkan bahawa serangan peluru berpandu Russia ke atas sebuah kapal kargo milik syarikat Turkiye yang membawa muatan bijirin telah mengorbankan lima nyawa, manakala lima lagi kru kapal masih hilang.
Dalam satu kenyataan, pihak tentera laut berkata, Russia telah melancarkan tiga peluru berpandu jelajah ke arah kapal Golden Leo. Kapal itu menggunakan bendera Guinea-Bissau, ketika ia sedang meninggalkan zon pertempuran dengan membawa muatan bijirin.
“Ini merupakan satu lagi serangan sengaja oleh Russia terhadap kapal awam tanpa senjata yang mengibarkan bendera asing dan sama sekali tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan.
“Serangan ini merupakan satu tindakan keganasan terhadap pelayaran aman dan satu pelanggaran berat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan daripada Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga mengesahkan bahawa kru kapal terbabit merangkumi warga Syria dan India.
“Seorang malim kapal warga Ukraine terkorban bersama-sama empat kru lain. Lapan kru berjaya dipindahkan manakala lima lagi masih dilaporkan hilang.
“Ketika dunia masih bertindak balas terhadap serangan kejam semalaman Russia ke atas Kyiv, Moscow terus menerus melancarkan kempen keganasan sepanjang hari,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X.
Dalam perkembangan berkaitan, Russia dilaporkan telah melepaskan 24 peluru berpandu balistik ke arah Kyiv pada malam Ahad yang mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan 16 yang lain.
Sementara itu, di pihak Russia pula, serangan Ukraine mengorbankan seorang di wilayah Kursk berhampiran sempadan Ukraine, menurut Gabenor wilayah tersebut, Alexander Khinshtein, menerusi Telegram.
Wartawan AFP di Kyiv menyaksikan blok pangsapuri yang hangus terbakar dengan tingkap berkecai, selain kereta yang remuk dan terbalik.
“Peluru berpandu datang bertubi-tubi tanpa henti, letupannya sangat kuat. Ia benar-benar mengerikan,” kata penduduk Kyiv berusia 47 tahun, Ganna Zagorodnia, kepada AFP.
“Saya fikir hidup saya akan berakhir,” tambahnya. – AGENSI/AFP










