GUA MUSANG: Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Begitu perjalanan hidup Raja Mohammad Lukman Raja Ibrahim, 31, dan abangnya, Raja Mohammad Razali, 33, yang kini memiliki lebih 50 ekor lembu daripada pelbagai baka seperti kampung, Brahman, Limousine dan Charolaise.
Semuanya bermula dengan hanya lima ekor lembu.
Raja Mohammad Lukman berkata, pembabitan dalam bidang penternakan lembu bermula selepas dia dan abang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejurus selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, mereka memperoleh modal permulaan daripada bapa sebagai sokongan menjayakan usaha tersebut.
“Saya dan abang mendapat pendedahan awal berkait bidang penternakan lembu daripada kedua ibu bapa sejak sekolah rendah. Awalnya hanya memiliki lima ekor lembu yang dipelihara secara suka-suka dan kini menjadi sumber pendapatan.
“Kami bermula secara serius dalam bidang ini sejak 10 tahun lalu selepas mengambil alih daripada kedua ibu bapa yang semakin uzur,” katanya ketika ditemui di Kampung Lepan Jaya di sini.
Raja Mohammad Lukman memberitahu, dia dan abangnya bersyukur apabila lembu yang dipelihara menjadi pilihan penduduk untuk ibadah korban sempena Aidiladha ini.
Katanya, sehingga kini sebanyak enam ekor lembu sudah ditempah untuk sambutan itu.
Bagi Raja Mohammad Razali pula, dia tidak menyangka minat memelihara lembu akhirnya menjadi sumber pendapatan mereka adik-beradik.
Katanya, selain menjual anak lembu antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut baka, mereka turut menjual daging lembu dengan harga RM32 sekilogram.
“Kami juga mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Gua Musang dari segi bantuan pawah di mana mereka menyediakan induk selain pembiakan lembu.
“Penjagaan lembu tidak sukar kerana hanya membiarkan lembu meragut rumput di kawasan ladang. Pada ketika ini kami perlu memberi perhatian lebih rapi bagi mengelakkan lembu-lembu terkesan dengan keadaan cuaca panas,” jelasnya. – UTUSAN