KUALA LUMPUR: Jenama teknologi popular, Prism+ mengumumkan pelancaran hebat bagi pasaran Malaysia setakat ini melalui pengenalan siri televisyen (TV) pintar dikuasakan kecerdasan buatan (AI) serta peluasan rangkaian perkakas rumah pintar terbaharu.
Pelancaran siri TV AI 2026 itu merangkumi tiga pilihan model utama iaitu QD Mini-LED, Ultra QLED+, dan Google TV 4K UHD yang direka bagi menawarkan pengalaman tontonan lebih pintar dan diperibadikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Prism+, Jonathan Wong berkata, syarikat percaya bahawa teknologi yang baik sepatutnya memudahkan kehidupan seharian, selain dibina berdasarkan keperluan sebenar pengguna pada harga berpatutan.
“Sebab itu produk seperti pam air HydroThrust dan penapis udara haiwan peliharaan Arialum diwujudkan kerana ia direka khusus untuk kediaman di Malaysia bagi menyelesaikan cabaran domestik yang sebenar.
“Kami sedang berusaha ke arah menawarkan penyelesaian mampu milik yang memastikan rumah anda berfungsi dengan lancar, sekali gus menjadi pusat sehenti untuk semua keperluan isi rumah,” katanya semasa majlis pelancaran di sini, hari ini.
Selain siri televisyen, Prism+ turut melakar sejarah tersendiri apabila memperkenalkan produk eksklusif pertama untuk pasaran Malaysia termasuk mesin basuh dan pengering mini Spin Mini Wash & Dry.
Jenama itu juga rasmi memasuki ekosistem pembersihan pintar menerusi pelancaran vakum tanpa kord EvoSonic Ultra Detect dan robot vakum pintar NanoBot bagi memenuhi keperluan isi rumah moden.
Bagi meningkatkan kebolehcapaian pengguna, syarikat turut memperkenalkan program pemilikan fleksibel PRISM+ EasyOwn yang menawarkan pilihan ansuran lebih mudah untuk rangkaian produknya.
Dalam masa sama, Prism+ turut mengumumkan kerjasama terbaharu bersama platform penstriman iQiyi dengan menawarkan kod langganan Premium VIP percuma selama sebulan kepada semua pelanggan baharu TV Prism+.
Langkah itu sekali gus melengkapkan senarai rakan hiburan sedia ada jenama berkenaan termasuk Viu, Durioo+, dan aplikasi MYTV Mana-Mana bagi pasaran tempatan. –UTUSAN







