Hasil laut, kualiti air Kuala Juru selamat – DOF

Hasil laut, kualiti air Kuala Juru selamat – DOF

perkosa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan hasil laut dan kualiti air di perairan Kuala Juru, Pulau Pinang berada pada tahap selamat serta mematuhi standard keselamatan makanan negara.

Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Azimah Jumatli berkata, keputusan itu diperoleh hasil analisis makmal terhadap sampel air dan kerang di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, analisis berkenaan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung dengan kerjasama Pusat Biosekuriti Perikanan Kuantan dan Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor susulan aduan berkaitan pencemaran daripada komuniti setempat.

Katanya, pemeriksaan meliputi parameter logam berat, kualiti air, plankton dan biotoksin marin.

“Orang awam tidak perlu panik kerana hasil analisis yang dijalankan mengesahkan sumber perikanan di Kuala Juru masih selamat untuk dimakan dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, Seberang Perai Tengah berdepan kebimbangan apabila pencemaran Sungai Juru didakwa semakin serius sejak setahun lalu sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Pencemaran yang disyaki berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang di kawasan berkenaan menyebabkan lebih 50 peratus hasil pendapatan penternak dan nelayan terjejas susulan kematian kerang serta ikan di sungai terbabit.

Masalah itu menjadi semakin serius selepas pintu saliran sisa buangan kilang di Sungai Derhaka yang bersambung dengan Sungai Juru dibuka semula selepas sekian lama ditutup.

Azimah berkata, keputusan ujian mendapati kandungan logam berat seperti merkuri, kadmium dan plumbum dalam sampel kerang berada di bawah had maksimum yang dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983.

Katanya, analisis biotoksin menggunakan kaedah High-Performance Liquid Chromatography (HPLC) turut merekodkan bacaan toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) pada tahap rendah dan selamat.

“Analisis mikroskopi terhadap sampel air juga mengesahkan tiada kehadiran mikroalga toksik seperti Alexandrium spp., Dinophysis spp. dan Pseudo-nitzschia spp. yang boleh menyebabkan fenomena air pasang merah atau red tide.

“Selain itu, bacaan ammonia dan nitrat didapati mematuhi Standard Kualiti Air Kebangsaan Kelas IIA bagi pemeliharaan hidupan akuatik sensitif,” katanya.

Azimah berkata, keputusan analisis itu menunjukkan keadaan perairan Kuala Juru serta hasil laut di kawasan berkenaan masih berada pada tahap selamat dan terkawal.

“DOF akan meneruskan pemantauan secara berkala terhadap aspek biosekuriti dan kualiti perairan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN