Bekas CEO GLC tidak mengaku perdaya babitkan kerugian RM40,000 - Utusan Malaysia

Bekas CEO GLC tidak mengaku perdaya babitkan kerugian RM40,000

AZIEDY Abdul Talib, 42, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang Eksekutif Operasi Kewangan sebuah syarikat membabitkan kerugian RM40,000, tujuh tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini hari ini atas tuduhan memperdaya seorang Eksekutif Operasi Kewangan sebuah syarikat membabitkan kerugian RM40,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdaya pengadu, Madiani Ab. Manaf yang merupakan kakitangan Mutiara.com Sdn. Bhd. dengan memberikan invois palsu bagi perkhidmatan “Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service” dengan bayaran RM40,000 kepada ATR Resources Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister dalam daerah Timur Laut pada 11 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Undang-Undang Malaysia Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut dibacakan dengan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Ang Chun Pun.

Ketika prosiding kes, Ang memohon mahkamah supaya mrngurangkan jaminan atas faktor anak guamnya perlu menyara isteri, dua anak, ibu bapanya yang sudah uzur dan seorang adik yang tinggal bersamanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport serta dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya