Bekalan air Pulau Pinang, Kedah terkawal - SPAN - Utusan Malaysia

Bekalan air Pulau Pinang, Kedah terkawal – SPAN

KEADAAN paras air Sungai Muda berhampiran Jambatan Merdeka yang sudah pulih ketika tinjauan dilakukan di Tikam Batu, Sungai Petani. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan air di Pulau Pinang dan Kedah yang dilaporkan mengalami gangguan susulan penyusutan paras air yang menurun secara mendadak di Sungai Muda sebelum ini terkawal serta sudah kembali pulih sepenuhnya.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), situasi semasa air di kedua-dua negeri berkenaan itu hasil lawatan tapak rentetan penyusutan paras empangan.

Jelas SPAN, lawatan selama dua hari yang disertai pelbagai agensi kedua-dua negeri itu juga sebagai persediaan menghadapi fenomena El Nino yang akan memberi kesan langsung kepada perkhidmatan air.

“Pada sesi lawatan di Kedah, delegasi SPAN telah diberikan taklimat oleh wakil agensi mengenai situasi semasa bekalan air di sana serta persiapan di pihak operator.

“Secara amnya, situasi pembekalan air bersih masih beroperasi sebagaimana biasa, namun tindakan mitigasi telah dan sedang diambil oleh setiap agensi berkaitan.

“Lawatan turut meninjau ke lokasi baraj dan mendapati pemulihan bekalan telah mencapai 100 peratus bagi semua kawasan yang terjejas sebelum ini dan perkhidmatan kembali pulih sebagaimana biasa,” kata SPAN dalam satu kenyataan, hari ini.

SPAN berkata, lawatan ke Pulau Pinang pula mendapati situasi bekalan air adalah terkawal dengan situasi hujan di negeri itu dijangka akan dapat membantu meningkatkan paras empangan.

Katanya, ia berikutan ramalan hujan berterusan sehingga Ahad oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Lawatan juga mendapati penurunan paras air sungai secara mendadak di Sungai Muda yang berlaku pada 14 Mei (Ahad) lalu adalah terkawal di kedua-dua negeri. Bekalan air telah berjaya dipulihkan sepenuhnya,” kata SPAN.

Justeru, SPAN merakamkan penghargaan kepada warga kerja Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang bertungkus lumus memastikan bekalan dipulihkan secepat mungkin walaupun menghadapi situasi luar jangka dan fenomena El Nino.

“SPAN merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang proaktif dan mengambil tindakan pantas bagi mengawal dan memulihkan masalah yang timbul terutama kepada operator-operator bekalan air di lain-lain negeri yang menghulurkan bantuan lori tangki agihan kepada SADA,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya