Beberapa bandar bakal tenggelam kesan pemanasan gobal

Beberapa bandar bakal tenggelam kesan pemanasan gobal

Seorang kanak-kanak bermain hujan di Kampung Dusun, Hulu Terengganu untuk menyejukkan badan berikutan musim panas sekarang. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa bandar di Malaysia bakal hilang daripada peta kerana ditenggelami laut yang berlaku disebabkan pemanasan global dan cuaca ekstrem yang menyebabkan kenaikan paras laut, menjelang 2050 iaitu kurang 30 tahun daripada sekarang.

Antara faktor utama mengakibatkan kenaikan paras laut adalah pengembangan haba lautan, pencairan glasier Greenland dan Antartika serta kepingan ais, perubahan suhu dalam simpanan daratan dan faktor paling mendominasi ialah pengembangan haba lautan.

Berdasarkan kajian terbaharu oleh Nature Communications iaitu Elevation Data Triple Estimation to Sea – Level Rise and Coastal Flooding yang diperoleh Utusan Malaysia, antara negeri yang bakal terjejas adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Malah, melalui laporan sama mendapati populasi Asia paling banyak terdedah kepada kenaikan paras laut iaitu sebanyak 70 peratus di peringkat global.

Pakar Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Juliana Jalaludin berkata, gabungan dua punca tersebut boleh menyebabkan pelbagai keadaan yang mampu menjejaskan masyarakat.

Menurut beliau, negara bakal mengalami peningkatan tahap banjir dan banjir laut selain hakisan pantai akan berlaku dengan lebih cepat serta merosakkan infrastruktur disebabkan impak dibawa gabungan kejadian ekstrem dan kenaikan paras laut.

“Malah, negara juga akan diceroboh air laut lalu berlakunya peningkatan kehilangan harta benda dan habitat pantai. Keadaan sama turut membawa risiko berlakunya peningkatan penyakit, tempias sama turut dihadapi oleh pertanian, akuakultur, kualiti air, sosioekonomi serta lain-lain.

“Antara bandar yang dijangka bakal menerima kesan adalah Parit Buntar sehingga Taiping (Perak), Bandar Muar (Johor) dan Pekan (Pahang) manakala Alor Setar (Kedah) berdasarkan Data Climate Central dijangka menjadi pulau menjelang 2050,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dr. Juliana berkata, perubahan iklim dunia yang begitu ketara dan drastik iaitu keada­an di mana tidak pernah dialami sejak beribu-ribu tahun sebelum ini adalah akibat da­ripada peningkatan paras laut dan pencairan ais di kutub seperti laporan panel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, perubahan guna tanah turut dinyatakan sebagai penyumbang kepada pelepasan gas iaitu aktiviti seperti pembersihan hutan boleh mengakibatkan pemanasan global tidak dikawal memandangkan sumber alam itu memainkan peranan pen­ting menyerap karbon dioksida terhasil daripada pembakaran bahan-bahan organik dan melepaskan oksigen.

“Laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang dikeluarkan pada 9 Ogos 2021 menyatakan bumi adalah lebih panas 1.1 darjah Celsius sejak sebelum era perindustrian.

“Menurut PBB, dijangka pada 2030, bumi menjadi le­bih panas sehingga 1.6 darjah Celsius. Pelbagai laporan juga menyatakan jika suhu mening­kat sebanyak 1.5 darjah Celsius lebih tinggi berban­ding era sebelum Revolusi Perindustrian, dunia akan mengalami kesan yang amat serius termasuk cuaca ekstrem.

“Malaysia tidak terkecuali, dan menurut laporan Kumpulan Bank Dunia 2021 tentang risiko iklim, negara ini diunjur mengalami peningkatan suhu purata sebanyak 0.8 hingga 3.11 darjah Celsius menjelang era 2090-an,” katanya.

Juliana yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) berkata, Malaysia berpotensi berdepan fenomena cuaca baharu termasuk cuaca ekstrem sekiranya pemanasan global dan pencemaran alam sekitar tidak ditangani dengan baik.

“Di negara ini, antara kesan perubahan iklim paling ketara ialah peningkatan suhu yang semakin dirasai sejak dua dekad lepas dan ini disokong oleh data-data Jabatan Meteorologi Malaysia, di mana didapati 16 daripada 20 tahun terpanas di Malaysia berlaku selepas tahun 2000.

“Corak purata suhu tahunan dalam tempoh tahun 1981 hingga tahun 2020 secara amnya me­nunjukkan trend peningkatan pada kadar 0.02 darjah Celsius setahun iaitu 0.2 darjah Celsius bagi setiap 10 tahun,” jelasnya.

Juliana turut memberitahu, terdapat satu kajian oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Commonwealth Scientific and Industrial Research Orga­nisation (CSIRO) pada 2017 yang meramal keadaan sebelum tahun 2100.

“Bagi Semenanjung me­nunjukkan kadar kenaikan paras laut ialah pada 0.67m hingga 0.71m (10.5 -10.9 mm/tahun) manakala negeri terancam maksimum ialah di Pantai Timur iaitu Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Ramalan untuk negeri Sabah dan Sarawak ialah pada paras 0.71m hingga 0.74m (10.9 -11.1mm/tahun) serta kawasan terlibat maksimum ialah di Kudat, Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN