PETALING JAYA: Beberapa akaun bank bernilai RM3.2 juta dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan lanjut berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya.
Pembekuan kesemua akaun berkenaan dilakukan selepas SPRM menahan 67 individu di seluruh negara dalam operasi khas Op Hire 2.0 sejak Selasa lalu sehingga semalam.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tangkapan terbaharu dilakukan terhadap seorang lelaki di Sarawak, semalam.
Kata sumber itu, tangkapan itu menjadikan sebanyak 47 lelaki dan wanita ditahan dalam operasi berkenaan.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah dan pengurus syarikat,” kata sumber itu.
Mengulas lebih lanjut, kata sumber, SPRM juga sedang giat mengesan aset dibeli individu berkenaan menggunakan dana kerajaan itu.
“Ada yang dikesan menyeleweng dana kerajaan itu dipercayai untuk bagi tujuan kepentingan diri, termasuk membeli aset dan barangan mewah lain.
“SPRM juga dipercayai ada merampas dua kenderaan mewah yang dibeli mereka hasil daripada dana berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Kata beliau, pihaknya kini sedang melengkapkan siasatan dan dijangka akan melakukan pertuduhan dalam masa.
Menurutnya, semua pegawai penyiasat akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan di negeri masing-masing.
“Kes ini dipantau dan diselaraskan oleh saya di peringkat Ibu pejabat,” katanya.
Utusan Malaysia pada 17 Mei lalu mendedahkan lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad berada dalam ‘radar’ diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya.
Syarikat daripada pelbagai sektor dan bidang itu dikenal pasti oleh SPRM hasil operasi dan risikan berterusan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengesan mana-mana individu ‘mengambil kesempatan’ melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan.
Kebanyakkan syarikat yang dikesan mempunyai 10 sehingga 70 kakitangan itu kononnya telah menawarkan latihan dan menggaji pekerja bagi syarikat mereka sebelum mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana program berkenaan.
Selasa lalu, seramai 47 individu lagi terdiri pemilik, pengarah, pengurus syarikat ditahan SPRM menerusi Op Hire 2.0 kerana membuat tuntutan palsu antara RM450,000 hingga RM2 juta.
Kesemua mereka berusia 30 hingga 70 tahun terdiri 33 lelaki dan 14 wanita itu mengemukakan tuntutan yang kononnya telah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Perkeso. Namun ia tidak dilaksanakan sebagaimana tuntutan.
Op Hire 2.0 ini adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilaksanakan pada 2022 yang lalu.
Kesemua tangkapan membabitkan 51 syarikat yang dikenal pasti SPRM melakukan tuntutan dengan nilai keseluruhan tuntutan adalah RM63 juta. – UTUSAN










