Akar umbi UMNO akan terjemah kekecewaan dalam PRN

Akar umbi UMNO akan terjemah kekecewaan dalam PRN

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya kebanyakan akar umbi UMNO akan memilih Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi bagi menzahirkan rasa kecewa mereka dengan parti itu yang be­kerjasama dengan DAP.

Malah, Bersatu dilihat sebagai platform terbaik wadah perjuangan atau tempat orang Melayu bergantung ketika ini menggantikan UMNO yang makin ditolak rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, akar umbi UMNO yang sebelum ini berjuang menentang DAP tentunya kecewa dengan kerjasama itu.

Malah katanya, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi dewan keramat UMNO selama ini juga sudah dimasuki para pemimpin DAP dalam konvensyen nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

“Demi menjaga maruah UMNO akar umbi mungkin pendam dan tidak bersuara ketika ini namun saya percaya mereka akan terjemahkan kekecewaan mereka itu dengan mengundi PN dalam PRN tidak lama lagi.

“Malah, kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin ‘otai’ UMNO juga sudah beralih kepada PN yang diyakini menjadi wadah orang Melayu,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Menjelaskan hal itu, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ini kerana meskipun calon yang bertanding daripada DAP, ia mewakili gabungan kerajaan perpaduan dan harus diterima susulan perubahan politik ketika ini.

Tambah Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, kekecewaan akar umbi itu juga dapat dilihat apabila setakat ini, Bersatu telah menerima sebanyak 1,200 keahlian baharu di Kuala Perlis di mana 50 peratus daripadanya merupakan bekas ahli UMNO.

“Kebanyakan bekas ahli UMNO memilih untuk bersama Bersatu selepas parti Melayu itu menjalinkan kerjasama dengan DAP,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, gelombang sokongan rakyat terhadap PN dijangka bakal memberi kemenangan buat gabungan itu di enam negeri dalam PRN nanti.

Katanya, berdasarkan gelombang sokongan yang positif ketika ini, PN optimis dapat meraih kemenangan bergaya di Kelantan, Terengganu, Kedah selain merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×